C. Sivarraajch
Sivarajh Chandran

KUALA LUMPUR – Pandangan Pemuda Bersatu (Armada) bahawa bahasa Melayu hanya boleh didaulatkan sebagai Bahasa Kebangsaan jika pendidikan vernakular dihapuskan disifatkan sebagai retorik politik bersifat fundamentalis.

Ketua MIC Cawangan Taman Bukit Kuchai Baru, Datuk Sivaraj Chandran berkata, kenyataan seperti itu hanya akan membesarkan lagi jurang perpaduan diantara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.

Katanya, beliau bersetuju pendidikan vernakular merupakan sistem peninggalan penjajah namun ia juga telah diperakui kepentingan kewujudannya melalui beberapa siri perbincangan dalam tempoh awal pembentukan negara bangsa Malaysia.

“Penyata Razak 1956 yang merupakan satu bentuk perjanjian tolak ansur antara laporan Barnes dan laporan Fenn-Wu telah membolehkan kewujudan sistem pendidikan kebangsaan dan vernakular secara seiring dengan syarat penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama manakala, bahasa- bahasa lain dibenarkan untuk menjadi bahasa pengantar di sekolah.

“Ini asasnya. Penyata Razak 1956 itu bukan sahaja mengesahkan tolak ansur secara tidak rasmi untuk pengekalan dua sistem pendidikan ini malah, mencerminkan semangat perpaduan dan teloransi yang menjadi asas kepada pembinaan negara bangsa Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sivaraj yang meneliti perbahasan (pada Persidangan Tahunan) Armada berkata, tindakan menjadikan sistem pendidikan vernakular sebagai “punching bag” untuk memperlihatkan diri sendiri sebagai pejuang Bahasa Kebangsaan adalah satu tindakan jangka masa pendek yang tidakbertanggung-jawab.

“Adakah bahasa Melayu hanya boleh didaulatkan dengan penghapusan pendidikan vernakular?

“Kenapa tidak ada ada pula pihak yang ingin melihat pada realiti bahawa kegagalan sebenar untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah akibat sikap seperti ini yang memperlihatkan Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang dimiliki oleh golongan tertentu sahaja,” katanya.

Tambah beliau, bahasa Melayu dalam konteks Bahasa Kebangsaan bukan milik Masyarakat Melayu atau Cina atau India semata-mata.

Sebaliknya beliau berkata, bahasa Melayu adalah milik semua rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina atau India.

Katanya, selagi mana ada pihak yang berpandangan fundemantalis seperti itu, usaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak akan dapat terlaksana dengan sepenuhnya.

“Ramai sahaja Masyarakat India atau Cina malah graduan pendidikan vernakular yang jauh lebih fasih berbahasa Melayu pada hari ini.

“Jangan keluarkan kenyataan separuh masak seperti itu untuk sekadar nampak hero dan meraih sokongan politik,” tegasnya. – MalaysiaGazette