KUALA LUMPUR – Penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima berita sedih apabila kelab tersebut mengumumkan barisan pemain yang tidak akan bersama pasukan bagi menghadapi kempen Liga Malaysia 2022.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kapten Baddrol Bakhtiar akhirnya mengucapkan selamat tinggal buat Kedah selepas 16 tahun bersama pasukan itu apabila dia sah diumumkan sebagai pemain baharu Sabah.

Kekecewaan kehilangan sosok tubuh yang digelar legenda dalam kalangan penyokong Kedah itu berterusan apabila tonggak pertahanan, Rizal Ghazali juga memilih untuk mengubah haluan berbeza dan dia juga menyertai Baddrol di Sabah.

Menyertai Kedah pada musim 2014, Rizal membuktikan kewibawaannya dalam menjadi antara tunjang di jentera pertahanan sehingga berjaya membantu kelab tersebut menjuarai Piala Malaysia 2016 serta Piala FA 2017 dan 2019.

“Sumbangan tenaga beliau sepanjang perlawanan tidak perlu dipertikaikan lagi, antara pemain urat besi dan tidak mudah ditewaskan. Apapun keputusan beliau (Rizal Ghazali), KDA FC akan terus menyokong kerjaya bolasepak mereka bersama pasukan baharu!” menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab tersebut.

Selain dua pemain yang nyata memberikan sumbangan cukup bermakna buat pasukan itu, Kedah juga terpaksa melupakan khidmat pemain pinjaman, Rodney Celvin Akwensivie.

Rodney yang membentuk gandingan mantap bersama Renan Alves akan kembali ke pangkuan Selangor pada musim hadapan.

Empat lagi pemain musim ini yang tidak akan bersama pasukan ialah Mohd Fairuz Zakaria, Muhammad Faizat Ghazli, Mohd Fandi Othman dan Tam Sheang Tsung.

Ketiadaan beberapa tonggak ini nyata sedikit meresahkan para penyokong Kedah dalam persiapan kelab tersebut untuk menghadapi kempen Piala AFC dan Liga Malaysia 2022.

Namun, sudah pasti perancangan rapi bakal dijelmakan oleh pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak dalam mengisi kekosongan ditinggalkan pemain-pemain tersebut.

Kedah sebelum ini mengumumkan tidak akan memperbaharui kontrak bagi tiga pemain import, Renan Da Silva Alves (Brazil), Rabih Ataya (Lubnan) dan Anumanthan Mohan Kumar (Singapura). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast