Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap ketika sesi 'walkabout' sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Restoran Ruby Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 02 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Pentauliahan individu  untuk mengajar agama Islam di masjid dan surau di Selangor boleh ditarik sekiranya mereka didapati memegang jawatan dalam parti politik.

Exco Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, tindakan ini bagi mengelakkan masjid dan surau di negeri berkenaan disalahgunakan untuk tujuan menyebarkan ceramah politik.

Keputusan berkenaan diputuskan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ketika bersidang baru-baru ini.

“Jawatankuasa Tauliah MAIS yang bersidang 29 Oktober 2021 bersetuju menarik balik pentauliahan mengajar agama Islam terhadap individu yang didapati terbukti aktif atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik.

“Jawatankuasa boleh menarik balik bagi memastikan pemegang tauliah bebas dan tidak memegang mana-mana jawatan dalam parti politik,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Tambah beliau, Jawatankuasa Tauliah MAIS juga berkuasa menarik pentauliahan individu yang menyebarkan agama Islam yang dicurigai menyebarkan kebencian di antara kaum.

Tindakan tegas ini di bawah peraturan-peraturan tauliah Selangor 2008, dengan menggantung atau menarik balik tauliah jika jawatankuasa mendapati pemegang tauliah memberi ceramah umum atau memberi pengjaran agama Islam yang mempunyai kecederungan mendatangkan kebencian atau membangkitkan kebencian umum terhadap kerajaan persekutuan atau mana-mana kerajaan negeri atau bagi mengembangkan perasaan buruk sangka di antara kaum, – MalaysiaGazette