Aktiviti melepaskan ikan di tasik bersama media antara pengisian Program Jelajah Kampus Hijau UMP bersama media hari ini.

PEKAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) giat menjalankan program berasaskan kepada Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang kini menjadi agenda global.

Profesor Datuk Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin selaku menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, agenda tersebut seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang 2030.

“Peranan universiti amat besar dalam membantu negara mencapai SDG untuk kelestarian masyarakat dan ia merangkumi usaha memastikan akses kepada tenaga yang mampu dimiliki boleh dipercayai, lestari dan mampan untuk semua terutamanya buat warga kampus.

“UMP turut membabitkan warga kampus dan  komuniti setempat untuk sama-sama mencapai SDG dengan mengadakan pelbagai program lestari serta menyedarkan masyarakat berhubung kepentingan hutan dalam usaha menangani isu perubahan iklim,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya, penganjuran Program Jelajah Kampus Hijau Bersama Media pada hari ini bagi mengajak para pengamal media dan agensi di negeri Pahang untuk sama-sama meneroka keindahan kampus hijau lestari.

“Program ini dianjurkan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan penanaman pokok, penjagaan dan teknik pemuliharaan tahap kualiti air tasik, menyemarakkan semangat sukarelawan dan cintakan alam sekitar.

“Penganjuran acara itu seiring komitmen universiti dalam menyokong matlamat SDG, di samping memberi pendedahan mengenai kepentingan menjaga kesihatan dengan amalan gaya hidup sihat dan persekitaran hijau,” katanya.

Program yang disertai 40 pengamal media  berpeluang meninjau ke beberapa kawasan hijau di universiti ini termasuklah pondok wakaf teknologi solar di Rimba Lestari yang mampu memberi kemudahan buat pengunjung mendapatkan sumber tenaga bagi kegunaan gajet elektronik. – MalaysiaGazette