Warga asing yang ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi bersepadu ketika JPJ melaksanakan Op Pewa di Taman Rekreasi Tasik Tambahan Ampang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 2 DECEMBER 2021.

AMPANG – Pandu kenderaan persendirian untuk bawa ikan air tawar dan tiada lesen.

Itu antara kesalahan dilakukan oleh seorang lelaki warga Bangladesh yang ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op PEWA) di sekitar daerah ini, hari ini.

Difahamkan lelaki berusia lingkungan 20-an itu memandu van milik abangnya yang menjalankan perniagaan menjual ikan yang diambil dari kolam di Hulu Langat sebelum dihantar kepada pelanggan di Sentul.

Ketika pemeriksaan dijalankan oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat pelbagai spesies ikan air tawar yang masih hidup diletakkan di dalam sebuah tong berwarna hitam di belakang tempat duduk penumpang.

Terdahulu, dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari itu, sejumlah 144 notis saman dikeluarkan oleh JPJ dengan 25 buah kenderaan turut di sita.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, sebanyak 750 buah kenderaan diperiksa sepanjang operasi berkenaan dan 62 daripadanya dikenakan pelbagai tindakan.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail bercakap pada media ketika JPJ melaksanakan operasi pemandu warga asing di Taman Rekreasi Tasik Tambahan Ampang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 2 DECEMBER 2021.

Menurut beliau, sebanyak 72 kesalahan yang dikesan adalah membabitkan Lesen Memandu Kompeten (CDL), 27 kesalahan teknikal, 10 kesalahan insurans tamat tempoh (10), sembilan kes tiada lesen kenderaan perdagangan (GDL) dan satu lain-lain kesalahan.

Katanya, antara yang turut diperiksa adalah 13 warga Myanmar, lima warga Indonesia, lima warga Bangladesh serta masing-masing tiga warga India dan Pakistan yang kebanyakannya menunggang motosikal roda tiga, memandu lori sampah dan kenderaan persendirian dijadikan sebagai kenderaan barangan.

“Operasi kali ini melibatkan seramai 42 anggota JPJ dan 10 anggota dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Warga asing yang ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia dibawa menaiki trak dalam Op Pewa di Taman Rekreasi Tasik Tambahan Ampang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 2 DECEMBER 2021.

“Ia diadakan setelah JPJ WPKL menjalankan risikan ke atas beberapa lokasi di sekitar ibu negara. Hasil risikan mendapati pelbagai kesalahan dikesan dilakukan oleh pemandu warga asing terutama bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan juga melakukan pelbagai kesalahan lain.

“Kebanyakan kenderaan yang dipandu oleh warga asing ini adalah milik warga tempatan, jadi saya ingin menasihatkan dan meminta kerjasama kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warg asing,” katanya dalam sidang media selepas Op PEWA di Taman Rekreasi Tasik Tambahan di sini hari ini.

Tegas Mohd Zaki, tindakan juga boleh dikenakan terhadap pemilik yang didapati membiarkan warga asing memandu kenderaan persendirian milik mereka.

Katanya, secara prinsip pemandu warga asing berkenaan tidak kompeten untuk berada di atas jalan raya kerana tidak memiliki GDL dan CDL selain membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Warga asing yang ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi bersepadu ketika JPJ melaksanakan operasi pemandu warga asing di Taman Rekreasi Tasik Tambahan Ampang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 2 DECEMBER 2021.

“Ini juga tidak adil kepada majoriti pengguna jalan raya yang mempunyai insurans dan lesen memandu yang lengkap untuk sama-sama berkongsi dengan mereka (warga asing) yang tidak mempunyai lesen memandu sah.

“JPJ memandang serius perkara ini dalam usaha mengelakkan berlakunya kemalangan meragut nyawa malah menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.

Jelas beliau, antara tindakan yang boleh diambil terhadap individu warga asing yang melakukan kesalahan adalah mengikut Seksyen 26(1) (Lesen-lesen memandu), Seksyen 57 (lesen vokasional bagi kenderaan barangan dan kenderaan pekerja), Seksyen 6(1) (larangan bagi kenderaan-kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah-kaedah) dan Seksyen 90(1) (tiada perlindungan insurans) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette