Pihak bomba sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi tanah runtuh di di Jalan Persekutuan Laluan FT 185 Jalan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands).

IPOH – Operasi mencari dan menyelamat di lokasi tanah runtuh di Jalan Persekutuan Laluan FT 185 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley (Cameron Highlands) di sini, diteruskan bagi memastikan tiada mangsa lain terperangkap dalam timbunan tanah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, setakat ini dua mangsa dilaporkan maut akibat terperangkap dalam timbunan tanah runtuh tersebut.

Mior Faridalathrash.

Mereka terdiri daripada pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31 yang berasal dari Tanjong Piandang manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, berasal dari Klang, Selangor.

Jelas beliau, operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat dalam insiden tersebut.

”Operasi mencari diteruskan kerana kita khuatir kemungkinan masih terdapat lagi mangsa.

“Selain bantuan pihak bomba dan Jabatan Kerja Raya, kita juga guna bantuan unit anjing pengesan (K9) di lokasi kejadian.

“Selain itu, tiada pergerakkan tanah dikesan di lokasi setakat ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut Mior Faridalathrash berkata, pihak berkuasa mengalami kesukaran ketika membawa keluar mangsa susulan terperangkap dalam timbunan tanah.

Artikel berkaitan: 

“Mangsa pertama (pemandu lori) ditemui jam 8 malam namun, dia berjaya dibawa keluar pada jam 10.50 malam manakala mangsa kedua ditemui jam 9.30 malam.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, hujan berterusan dipercayai punca hakisan tanah di kawasan cerun potong di laluan berkenaan.

“Runtuhan tanah berlaku sepanjang 100 meter dan laluan utama ke Cameron Highlands itu ditutup berikutan tidak selamat untuk semua jenis kenderaan.

“Bagaimanapun, punca tanah runtuh masih dalam siasatan dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh JKR Daerah dan pihak konsesi jalan persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN 

Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh di laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands