Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mendakwa kerajaan DAP negeri ini tidak boleh mengurus kewangan negeri dengan baik susulan pengumuman bajet defisit dua tahun berturut-turut.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, berdasarkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Lim Guan Eng berhubung baki Simpanan Terkumpul Negeri berkurangan dengan drastik membuktikan pimpinan DAP selama 13 tahun gagal.

Jelas beliau, rizab simpanan negeri Pulau Pinang akan habis digunakan dalam tempoh dua tahun memandangkan setiap tahun defisit yang dicatatkan berjumlah RM400 juta.

“Ketika Parti Gerakan menyerahkan kuasa pentadbiran kepada DAP, rizab simpanan negeri itu berjumlah RM850 juta namun selepas 13 tahun DAP memerintah baki simpanan terkumpul hanya tinggal RM887.78 juta.

“Selama dua tahun berturut-turut kerjaaan negeri menggunakan rizab simpanan itu untuk membiayai bajet yang mengalami defisit sejak kebelakangan ini.

“Mungkin kerajaan DAP menggunakan rizab simpanan negeri untuk menyelesaikan masalah penularan Covid-19 namun, mereka mesti beri penjelasan secara terbuka untuk berhubung penggunaan itu kerana ia merupakan aset rakyat Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, ramai berpendapat kerajaan DAP perlu tingkatkan pendapatan melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bukan guna rizab simpanan untuk menyelesaikan masalah kewangan negeri.

Bagaimanapun, jelas beliau, prestasi 19 buah syarikat GLC kerajaan negeri Pulau Pinang sangat buruk dan ia termasuk dua daripadanya sudah l tidak aktif manakala satu lagi sedang berdepan dengan masalah bankrup.

“19 GLC itu terdiri daripada 17 syarikat di bawah Perbadanan Ketua Menteri manakala dua lagi merupakan anak syarikat Perbadanan Setiausaha Negeri Pulau Pinang.

“Dua syarikat yang tidak aktif itu adalah Penang Health Alliance Sdn.Bhd. dan Syarikat Bas Pulau Pinang (Syarikat Bas Negeri Pulau Pinang) manakala Syarikat Penang Asia Pacific Masters Games Sdn. Bhd pula, sedang berdepan dengan isu kebankrapan.

“Malah, ketidakupayaan DAP mentadbir negeri Pulau Pinang telah menyebabkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang merupakan angsa bertelur emas turut mengalami kerugian selain berhutang RM500 juta kepada CIMB,” kata beliau.

Sehubungan itu, saya menggesa rakyat negeri ini membuat pertimbangan sewajarnya pada Pilihan Raya Umum akan datang agar Pulau Pinang tidak berdepan krisis kewangan akibat kegagalan kerajaan DAP mengurus selama ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN 

Pulau Pinang bentang belanjawan defisit