Muhammad Hilman menjadi sasaran 'serangan' ADUN kerajaan dalam sesi penggulungan.

SHAH ALAM – Nampaknya Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham sentiasa mencuri perhatian wakil-wakil rakyat yang mengambil bahagian dalam sidang Dewan Undangan Negeri(DUN) Selangor.

Hari ini, beliau sekali lagi menjadi tumpuan apabila blok kerajaan menggelarnya ‘katak’.

Gelaran itu merujuk tindakan Ahli Parlimen Gombak Setia itu beberapa pemimpin kanan PKR melompat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat itu, lantang mempertikaikan tindakan Selangor menjual majoriti saham dan ratusan ekar tanah milik kerajaan negeri kepada Berjaya Land untuk projek pembangunan sepanjang Sungai Klang.

Beliau mahu kerajaan menarik balik pemberian projek itu kerana tidak yakin dengan kemampuan syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, Exco Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pertanian & Perladangan dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim ketika mempertahankan keputusan kerajaan negeri itu menyatakan, projek itu diluluskan ketika Muhammad Hilman masih dalam kerajaan.

Jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Gombak Setia dengan meminta Exco tidak memberi alasan sedemikian, sebaiknya menjawab secara profesional.

“Terima kasih Gombak Setia yang nampak hebat (berbahas) hari ini. Sebenarnya untuk makluman semua Ahli-ahli Yang Berhormat (YB), projek ini bermula di zaman Gombak Setia lah,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2022 peringkat Selangor di sidang DUN, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Hilman tidak puas hati dengan jawapan itu dan mohon diberi masa kepadanya untuk menjawab secara terperinci kenapa beliau membantah tindakan kerajaan negeri memberi projek pembangunan Sungai Klang kepada syarikat berkenaan.

“Jangan macam tu YB.. saya nak sebut (nyatakan)… kalau macam tu bagi saya jawab.” kata Muhammad Hilman.

“Saya tak bagi laluan…,” jawab Ir. Izham.

Terdahulu, Muhammad Hilman minta semua ADUN tidak kira pembangkang mahupun kerajaan kena mengambil tanggungjawab dan ambil tahu perkara itu.

Beliau juga minta perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Katanya, Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) akan mengusulkan supaya kes itu dibentangkan sebagai usul dan Speaker DUN, Ng Suee Lim perlu mengadakan rundingan yang adil supaya seluruh rakyat Selangor mengetahuinya.

Penjelasan beliau itu tidak disenangi Datuk Teng Chang Khim (DAP-Bandar Baru Klang) yang meminta Gombak Setia duduk dan tidak mengganggu penggulungan Ir. Izham berhubung persoalan dibangkitkan beberapa ADUN pada sesi perbahasan.

“Gombak Setia tadi sudah ambil masa panjang.. banyak cakap…duduk dulu, bagi Exco jawab… tak berani (bagi Exco jawab).. duduk la dulu,” sindir Chang Khim.

“Jangan salahkan orang lain, waktu YB (Chang Khim) Exco pun ada (masa) itu. Jangan nak jerit sangat la, you pun ada situ,” kata Muhammad Hilman.

‘Perang mulut’ antara kedua ADUN itu bertambah gamat bila beberapa ADUN pembangkang iaitu Rizam dan Mohd Shaid Rosli (Pejuang-Jeram) turut masuk campur.

Keadaan bingit itu memaksa Suee Lim mematikan pembesar suara dan suasana kembali tenang selepas Ir. Izham menghabiskan sesi penggulungan. – MalaysiaGazette