Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) memberi jaminan bahawa bekalan untuk ayam dan telur sehingga akhir tahun ini adalah stabil dan mencukupi.

Presidennya, Tan Chee Hee berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kemungkinan berlaku kekurangan daging ayam dan telur ayam kerana keadaan itu tidak pernah berlaku sejak merdeka.

Beliau menjelaskan, permintaan untuk ayam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sekitar dua juta ekor setiap hari, tetapi permintaan menjunam selepas itu.

Katanya kepada Sinchew Daily, permintaan bagaimanapun telah meningkat semula selari dengan pemulihan aktiviti ekonomi yang mendorong permintaan ayam pulih 80 hingga 90 peratus kepada 1.6 juta hingga 1.7 juta ekor sehari kebelakangan ini.

Beliau berkata, selari dengan peningkatan permintaan, pihak penternak akan memberi kerjasama untuk memastikan penawaran ayam mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran.

Menurutnya, penternak antaranya sedia memberi bayaran kerja lebih masa kepada pekerja untuk mengatasi masalah kekurangan pekerja supaya penawaran ayam boleh ditingkatkan semula.

“Walaupun bekalan ayam saiz tertentu memang tegang sedikit, tetapi isu ini tidak akan berpanjangan.

“Untuk bekalan ayam biasa pula, sebenarnya tidak berlaku isu kekurangan penawaran,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, sebelum ini, permintaan ayam menyaksikan peningkatan berlipat ganda apabila kebanyakan negeri memasuki pemulihan fasa keempat dan aktiviti pelancongan rentas negeri dibenarkan.

“Disebabkan kekurangan pekerja, kos makanan ayam yang meningkat dan permintaan yang melonjak, maka berlaku ketidakseimbangan penawaran dan permintaan.

“Perlu diingati bahawa ayam memerlukan sebulan untuk matang,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rakyat hendak harga ayam yang lebih rasional, kalau pasatuan penternak cuba ambil kesempatan pada rakyat lebih baik kerajaan import sahaja ayam.

Comments are closed.