Meenakshi Raman.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwa langkah yang diambil menangani isu tanah runtuh masih belum mencukupi antara sebab kejadian tanah runtuh di Jalan Persekutuan Laluan FT 185 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley (Cameron Highlands)  semalam.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, acap kali hujan lebat berterusan dikatakan punca berlaku tanah runtuh namun ia tidak boleh dikategorikan penyebab utama kerana hujan bukan sesuatu yang luar biasa.

“Bagi suatu kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun berlaku dan dicetuskan oleh hujan lebat yang berterusan, mestilah terdapat gangguan kepada rupa bumi semula jadi di kawasan berkenaan.

“Apa yang boleh kita lihat, langkah-langkah yang diambil untuk mencegah tragedi sebegini masih tidak mencukupi dan pihak berwajib tidak boleh meletakkan hujan sebagai penyebab utama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu Meenakshi menggesa pihak berkuasa yang berkaitan di Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya supaya memantau semua kawasan berisiko tinggi dan mengambil langkah bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh atau kegagalan cerun lain.

“Sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak serta mengawal ketat pembangunan di tanah bukit dan tinggi, menjalankan pemantauan yang lebih kerap, menguatkuasakan undang-undang dan peraturan sedia ada dengan tegas bagi mengelak kejadian sama berulang.

“SAM juga mahu siasatan segera dilakukan berhubung insiden tanah runtuh yang meragut dua nyawa itu serta hasil siasatan diberitahu pada umum,” kata beliau. – MalaysiaGazette