Datuk Saifuddin Abdullah Undi 18 GE15 General Election voters vote
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengadakan lawatan rasmi selama dua hari ke Republik Rakyat China bermula hari ini.

Menurut Wisma Putra, lawatan kerja itu bagi memenuhi undangan daripada rakan sejawatannya yang juga Penasihat Negara Republik Rakyat China, Wang Yi.

Selain lawatan kerja, Saifuddin juga akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Kerjasama Pasca Era Covid-19 yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 April 2021.

“Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri.

“Mesyuarat ini akan dibuat secara hibrid. Pegawai-pegawai kanan dari kementerian-kementerian yang berkaitan akan menyertai mesyuarat ini secara maya.

“Mesyuarat JPT ini adalah satu mekanisme dua hala di peringkat Menteri,” katanya Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra itu, kedua-dua Menteri Luar Negeri akan membincangkan pelbagai kerjasama bagi mengukuhkan lagi hubungan Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia-China.

“Bidang-bidang yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, ekonomi digital, komoditi dan perniagaan pertanian, diplomasi kesihatan, diplomasi budaya serta pendidikan dan pelancongan.

“Kedua-dua Menteri Luar Negeri juga akan bertukar pandangan tentang hal ehwal perkembangan serantau dan antrabangsa,” kata kenyataan itu.

Lawatan itu juga menandakan hubungan erat serta kesediaan Malaysia dan China untuk mempelopori usaha pemulihan, selain mempromosikan pertumbuhan dan kemakmuran kedua-dua negara selepas kesan buruk wabak Covid-19.

“Lawatan rasmi ini akan mematuhi SOP pencegahan COVID-19 yang ketat seperti yang dipersetujui oleh Malaysia dan Republik Rakyat China,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette