Orang ramai membeli barang keperluan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 SEPTEMBER 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ekonomi Islam Malaysia menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyiasat penglibatan orang tengah dipercayai menjadi dalang di sebalik kenaikan harga barang di pasaran ketika ini.

Penasihat Kehormatnya, Mohd Asna Amin berkata, siasatan penguatkuasa KPDNHEP kini lebih tertumpu kepada peniaga yang menaikkan harga barang sedangkan orang tengah termasuk pemborong terus mengambil kesempatan tanpa pemantauan sewajarnya.

“Bukan mahu membuat tuduhan sembarangan, tetapi seeloknya pihak berkuasa turut membuat pemeriksaan sama ada masih wujud anasir orang tengah sehingga menyebabkan harga sayur melambung tinggi.

“Kita masih ingat hasil kajian beberapa tahun lalu mendapati ramai penternak, petani dan nelayan terikat dan terpaksa menjual hasil mereka kepada orang tengah.

“Orang tengah dikatakan menguasai rantaian pasaran melalui manipulasi harga, timbangan dan bekalan input menyebabkan petani memperolehi keuntungan sedikit dan kos sara hidup rakyat meningkat,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Penasihat Kehormat Pertubuhan Ekonomi Islam Malaysia, Mohd Asna Amin

Beliau berkata, tindakan orang tengah itu juga dilihat sebagai satu pengkhianatan kepada negara, apatah lagi ketika ini rakyat sedang bergelut kembali memulih ekonomi masing-masing akibat kesan pandemik Covid-19.

“Jika anasir orang tengah mengambil kesempatan menaikkan harga di sebalik kekurangan bekalan berulang ia merupakan suatu pengkhianatan kepada negara.

“Kita tidak mahu semasa rakyat masih berdepan kesan pandemik dan penutupan ekonomi, orang tengah mengambil kesempatan memerah keringat petani dan poket rakyat untuk mengaut keuntungan.

Katanya lagi, kenaikan harga barang berkaitan hasil pertanian ini juga sebenarnya satu fenomena yang dirasai rakyat di seluruh negara dan KPDNHEP perlu akur kepada keadaan ini.

“KPDNHEP pernah menyatakan bahawa isu kenaikan harga sayur bukan fenomena seluruh negara.

“Bagaimanapun respon yang diperlihatkan rakyat adalah jelas iaitu kenaikan harga sayur suatu bebanan baharu yang sedang menyusahkan kehidupan mereka.

“Antara alasan kenaikan harga yang diperkatakan adalah faktor cuaca, logistik, peningkatan kos baja dan racun, hujan lebat, banjir dan tanah runtuh dan kekurangan tenaga kerja.

“Bagaimanapun tiada disebut tentang faktor orang tengah yang sebelum ini sering dikaitkan dengan kenaikan harga barang keperluan di pasaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette