Keadaan MPV yang dipandu Chee Heng remuk sepenuhnya akibat tertimbus tanah runtuh dalam kejadian di Jalan Persekutuan Laluan FT 185 Jalan Simpang Pulai - Blue Valley (Cameron Highlands) di sini.

IPOH – Hanya dua kenderaan disahkan terbabit dalam insiden tanah runtuh di Jalan Persekutuan Laluan FT 185 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley (Cameron Highlands) di sini, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, setakat ini, hanya dua kenderaan dikenal pasti terbabit iaitu sebuah lori sayur dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

“Bgaimanapun, operasi masih diteruskan termasuk membersihkan laluan berkenaan bagi memastikan tiada lagi kenderaan mahupun mangsa terbabit.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dengan penggunaan jentera berat meliputi jengkaut, membabitkan kekuatan 139 anggota termasuk dari lain-lain agensi,” katanya hari ini.

Sebelum ini, tiga kenderaan dikatakan tertimbus dalam runtuhan itu iaitu membabitkan sebuah lori, MPV serta kereta.

Namun pencarian sehingga kini, hanya membawa kepada penemuan dua kenderaan sahaja.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan, setakat ini dua mangsa dilaporkan maut akibat terperangkap dalam timbunan tanah runtuh tersebut.

Mereka terdiri daripada pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31 yang berasal dari Tanjong Piandang manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, berasal dari Klang, Selangor. – MalaysiaGazette