PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangi terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Duta sebelum susur masuk ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 73 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu meninggal dunia di lokasi kemalangan ekoran kecederaan parah di kepala.

Katanya, mangsa yang dalam perjalanan dari pusat bandar menghala ke Lebuhraya DUKE gagal mengawal kenderaannya dan melanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 29 tahun di laluan sama.

“Akibat dari kemalangan tersebut mangsa penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pasukan paramedik Hospital Besar Kuala Lumpur.

“Mangsa telah dibawa ke HUKM Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Sarifudin meminta orang ramai dan juga saksi kejadian supaya menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette