Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (dua kanan) bersama Pengarah Operasi Jabatan Pilihanraya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin (dua kiri) bergambar selepas membuat laporan polis menggesa Kerajaan Malaysia mengekstradisi Datin Seri Rosmah Mansor dari Singapura ke Malaysia akibat kegagalan beliau menghormati perintah mahkamah untuk hadir perbicaraan pada 2 Disember 2021 di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sayap pemuda parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Armada mempersoalkan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor akan hadir ke mahkamah pada Isnin ini untuk pendengaran rayuannya bagi membatalkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapi beliau dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes itu.

Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, ini kerana Rosmah sepatutnya berada sudah berada di negara ini pada 21 November lalu untuk proses kuarantin sebelum hadir ke mahkamah.

“Jelas beliau gagal untuk hadir pada 2 Disember untuk prosiding mahkamah rayuan.

“Rayuan tersebut adalah prosiding yang beliau rayu untuk menidakkan Gopal Sri Ram bagi pendakwa kes sebanyak RM1.25 bilion, beliau yang merayu untuk menafikan pendakwa raya Gopal Sri Ram tapi beliau sendiri yang gagal hadir.

“Dalam kegagalan beliau hadir pada 21 November untuk beliau pulang sebab ada proses kuarantin baru dapat hadir prosiding mahkamah,” katanya sebelum membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, sebentar tadi.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Rayuan, memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri itu hadir ke mahkamah pada Isnin ini untuk pendengaran rayuannya bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes itu.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah untuk menahan pengeluaran waran tangkap terhadap Rosmah, yang merupakan perayu dalam permohonan tersebut.

Hakim Hanipah berkata, peguam perayu memohon perbicaraan ditangguhkan ke Isnin ini kerana perayu belum kembali ke Malaysia seperti diarahkan Mahkamah Tinggi melalui perintah bertarikh 15 Oktober.

Justeru itu, Asyraf berkata, pihaknya musykil samada Rosmah akan hadir kerana beliau masih belum kembali ke Malaysia.

“Sekarang apabila peguam menyatakan pada hari Isnin ini akan diadakan satu perjanjian oleh peguam beliau bahawa dirinya akan hadir.

“Persoalannya adakah beliau sudah ada di negara ini atau masih berada di Singapura sebab pasportnya harus dikembalikan pada 6 Disember.

“Hari itu adalah hari yang mana dia perlu untuk hadir bagi sesi prosiding rayuan tersebut tapi kita tidak tahu sama ada beliau sudah balik ke belum.

“Daripada awal dia juga telah menghina mahkamah kerana tidak hadir semasa kes rayuan kedua gagal pulang pada 21 November seperti yang diarahkan oleh mahkamah pada 15 Oktober,” katanya lagi.

Sekiranya Rosmah didapati masih berada di Singapura, pihaknya menuntut agar kerajaan melakukan proses ekstradisi ke atas isteri bekas Perdana Menteri itu agar boleh hadir untuk proses prosiding mahkamah.

“Kami Armada PN tuntut untuk Rosmah diekstradisi kalau dia gagal untuk pulang adakah beliau masih berada di Singapura atau sudah lagi ke tempat lain.

“Kita minta dia diekstradisi supaya dia boleh hadir meneruskan rayuan prosiding kerana dia yang merayu dan meneruskan bagi membuktikan beliau bersalah atau tidak.

“Kita nak menuntut mengapa pejabat peguam negara pada awalnya sejak pemberian pasport pada 15 Oktober sewaktu hakim umumkan berikan pasport kenapa tidak ada campur tangan daripada pejabat peguam negara ke atas Rosmah Mansor.

“Kita tuntut supaya kes beliau diadili seperti orang biasa,” ujarnya.

Pada 15 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Rosmah supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau ke Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa yang dijangka melahirkan anak kedua.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan semasa membenarkan permohonan berkata, Rosmah mesti kembali ke Malaysia sebelum atau pada 21 November dan pasport mesti diserahkan balik kepada mahkamah sebelum atau pada 6 Disember 2021.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pada 4 Oktober, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya sementara menunggu selesai rayuan beliau dalam kes sama.

Susulan keputusan itu, Rosmah, 69, memberi keterangan sebagai saksi pembelaan di Mahkamah Tinggi pada 5 Oktober lalu. Perbicaraan dijadual disambung pada 8 Disember. – MalaysiaGazette