KUALA LUMPUR – Malaysia menjana lebih RM33.9 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam tempoh 8 minggu pertama penyertaan di Expo 2020 Dubai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pulangan perdagangan dan pelaburan itu diperoleh menerusi 43 Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat, serta 602 petunjuk perniagaan dengan beberapa syarikat antarabangsa.

“Malaysia juga telah berjaya melepasi sasaran asal iaitu RM10 bilion bagi potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pencapaian itu telah disumbang menerusi usahasama rentas kementerian yang melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama agensi-agensi di bawah kementerian-kementerian ini serta syarikat swasta.

Menurut Ismail Sabri, bagi memastikan pencapaian dan sinergi yang lebih padu, penyertaan rentas kementerian telah diselaraskan menerusi sub-tema Pavilion Malaysia.

Ia membabitkan pengkomersialan teknologi tempatan, membangunkan ekosistem startup yang mampan, inovasi teknologi hijau, daya tahan iklim dan infrastruktur lestari, bandar pintar dan rendah karbon, kewangan mampan serta industri halal dan pembuatan mampan, ujarnya.

Ismail Sabri berkata, penyertaan Malaysia pada Expo 2020 Dubai bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai agensi pelaksana telah menunjukkan perkembangan positif.

Berikutan itu, katanya, kerajaan yakin penyertaan negara dalam Expo 2020 Dubai akan menghasilkan impak yang lebih luas lagi selain membuktikan syarikat dan teknologi Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berjaya menarik pelaburan serta minat daripada pelbagai rakan strategik.

Tambah beliau, momentum ini dijangka berterusan untuk 18 minggu akan datang dengan usaha gigih pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Pavilion Malaysia pada Expo 2020 Dubai yang direka bentuk dengan konsep kanopi hutan hujan tropika bertemakan Energising Sustainability merekodkan kunjungan lebih 330,000 pelawat sehingga semalam.

Lawatan peringkat tertinggi ke Pavilion Malaysia termasuk menerima tetamu kehormat dari Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, India, Kemboja, Kuwait, Republik Guinea, Rusia, United Kingdom, serta Dewan Perniagaan Sharjah, ujarnya. – MalaysiaGazette