Hassan Kamil secara simbolik menyerahkan sumbangan mesin dialisis kepada Ismail Mohammad di Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah.

KUALA LUMPUR – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) menyumbangkan mesin dialisis kepada Pusat Hemodialisis Masjid At-Taqwa (MAHC) Kepala Batas, Pulau Pinang bagi menghadapi peningkatan jumlah pesakit mendapatkan rawatan di pusat dialisis komuniti tersebut.

“Mesin dialisis dan sumbangan kewangan adalah cara kami memberi semula dan menyumbang ke arah masyarakat prihatin.

”Melalui sumbangan mesin dialisis ini, kami ingin memudahkan usaha MAHC dalam membantu pesakit buah pinggang yang kurang bernasib baik terutama mereka daripada keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira latar belakang dan agama untuk mendapatkan rawatan yang mereka perlukan serta membantu komuniti setempat,” kata Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia selepas menyampaikan mesin dialisis baharu kepada Ismail Mohammad, Timbalan Pengerusi Masjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah.

Majlis itu disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.

Mesin dialisis yang disumbangkan oleh Takaful Malaysia adalah mesin hemodialisis berkualiti tinggi yang menyediakan fungsi lengkap untuk terapi hemodialisis dengan penyediaan cepat, masa pembasmian kuman yang dikurangkan, salur kartrij bikarbonat yang cepat, memantau tekanan darah secara automatik, pusat penghantaran asid pekat dan banyak lagi.

Takaful Malaysia turut menyumbang RM5,000 kepada Masjid At-Taqwa dalam menyediakan sokongan kewangan untuk keseluruhan operasi masjid tersebut.

”Sumbangan kewangan pastinya akan membantu menambah sumber yang diperlukan untuk operasi berterusan Masjid At-Taqwa,” tambahnya.

Selain itu, Takaful Malaysia baru-baru ini juga menyumbangkan peralatan unit rawatan rapi bernilai RM100,000 kepada Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat dalam memerangi wabak Covid-19.

Peralatan ICU yang didermakan akan membantu HPP dalam menyediakan rawatan perubatan dan memastikan pesakit Covid-19 mendapat akses tepat pada masanya kepada rawatan dan perkhidmatan perubatan. – MalaysiaGazette