Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah)bersama Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (kanan) dan Penasihat Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong (kiri) mengangkat tangan sambil melaungankan 'Satu Hati' pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-50 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis bahawa Perikatan Nasional (PN) akan menjadi gabungan politik pilihan rakyat pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, keyakinan tersebut  berdasarkan PN menawarkan pentadbiran yang prihatin rakyat dan berintegriti selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

Katanya, PN telah membuktikan mampu mentadbir negara dengan baik dan mengamalkan dasar prihatin rakyat serta mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang sepanjang mentadbir negara sebelum ini.

“Rekod ini akan kita pertahankan dan persembahkan kepada rakyat untuk mereka membuat penilaian,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), di sini, hari ini.

Menurut bekas perdana menteri itu, PN juga sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang sentiasa menekankan aspek perpaduan kaum dan agama dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Katanya, PN beriltizam untuk membela nasib semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan wilayah.

Tambah beliau, komitmen itu telahpun dilaksanakan oleh PN menerusi Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan perkara asas paling utama dalam dasar itu ialah memastikan tiada siapa yang akan tertinggal.

“Kita akan berkongsi khazanah kekayaan negara secara bersama dan maju bersama-sama tanpa seorang pun yang tertinggal di belakang. Ini komitmen Perikatan Nasional,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, penyertaan Gerakan ke dalam PN adalah satu pilihan yang tepat dan beliau selaku Pengerusi PN amat mengalu-alukan sumbangan parti Gerakan dalam melengkapkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik yang mewakili semua kaum di Malaysia.

Katanya, tugas Gerakan yang selanjutnya adalah untuk bersama-sama memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang kuat dan disokong oleh majoriti rakyat.

Jelasnya, hanya dengan sokongan majoriti rakyat, PN akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk melaksanakan dasar-dasar prihatin rakyat, mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang serta memaju dan memakmurkan negara yang hasilnya dapat dikongsi oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.

“Inilah tugas dan cabaran besar bagi Gerakan sebagai sebuah parti anggota Perikatan Nasional. Saya percaya tugas ini akan dapat digalas dengan baik oleh seluruh pimpinan dan ahli Gerakan yang berjuang dengan semangat satu hati untuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette