Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-50 Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 04 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar perlu sentiasa menghormati antara satu sama lain dalam memperjuangkan hak parti masing-masing.

Presiden Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang memberikan peringatan itu berkata, walaupun semua pemimpin dalam gabungan mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka, perasaan parti komponen PN perlu sentiasa diambil kira.

“Saya setuju dan memang kami pemimpin semua bersetuju setiap parti boleh mempertahankan hak masing-masing…tidak mengapa semua orang boleh memperjuangkan hak mereka sendiri.

“Tetapi prinsip kami, semasa anda memperjuangkan hak anda sendiri, anda tidak boleh menyakiti hati pihak lain.

“Saya bersetuju bahawa ada pandangan dan pendapat berbeza yang boleh kita diselesaikan dalam mesyuarat…kita boleh cuba selesaikan ini bersama-sama sebagai parti komponen,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan ke-50 parti Gerakan, di sini, hari ini.

Dominic memetik contoh di mana Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengumumkan kerajaan negeri telah memutuskan tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di Kedah bagi memastikan ia bebas daripada aktiviti tersebut pada masa hadapan.

Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, keputusan itu dicapai semasa mesyuarat Exco khas kerajaan negeri pada November di mana kesemua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah bersetuju tidak akan meluluskan sebarang permohonan pembaharuan lesen untuk premis perjudian.

Dominic menegaskan, di bawah gabungan PN, parti komponen mencerminkan kepelbagaian budaya dan ia adalah kekuatan kepada gabungan itu.

“Memang apabila menerima pengumuman itu, terdapat banyak pandangan berbeza pendapat, ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju.

“Tetapi kebanyakan bukan Melayu tidak bersetuju. Saya menghantar mesej kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya berkata, ‘Kami tidak bersetuju tetapi kami menghormati keputusan menteri besar Kedah’.

“Kenapa? Kerana dia dipilih oleh rakyat dan mengikut perlembagaan dan dia mempunyai kuasa untuk membuat keputusan ini,” ujarnya.

Muhammad Sanusi pada November lalu berkata, aktiviti perjudian memberi impak negatif yang besar kepada mereka yang terlibat manakala, hanya segelintir yang mendapat manfaat daripadanya iaitu pengusaha perjudian.

Beliau turut berkata, walaupun kerajaan tidak menutup premis perjudian sedia ada, ia tidak akan memperbaharui lesen perjudian dan ini akan menyebabkan pengusaha tidak dapat menjalankan perniagaan mereka apabila lesen mereka tamat.

Selain itu, Muhammad Sanusi memberitahu, kerajaan negeri Kedah juga memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman beralkohol di negeri itu terutama di kawasan yang tiada permintaan seperti di luar bandar. – MalaysiaGazette