drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 30-an pada Rabu lalu kira-kira pukul 6.14 petang berkaitan kes tersebut selain pengadu turut mengesyaki isterinya dipikat lelaki lain.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara telah melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki dan wanita warga tempatan di sekitar daerah ini pada pukul 3 petang.

“Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan pengadu sering memukul dan mengugut isterinya sehingga isterinya melarikan diri dan meminta bantuan daripada kedua-dua suspek.

“Hal ini berpunca daripada masalah rumah tangga yang sedang dialami oleh pengadu dan isterinya.

“Pengadu juga sebelum ini pernah dipenjara selama lapan bulan atas kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dengan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, S. Vijaya berkata, kedua-dua suspek yang berusia 30-an itu cuba membantu isteri pengadu dengan memberi perlindungan.

Katanya, semasa kejadian berlaku terdapat saksi awam dan kesemua saksi berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Semakan yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau dan suspek telah ditahan reman selama sehari,” ujarnya.

Jelas S.Vijaya, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti hubungan antara isteri pengadu dengan pasangan suami isteri yang ditahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette