Muhammad Idzam Jaafar

KUALA LUMPUR – Polis telah mengenal pasti seorang lelaki warga emas yang membawa sebilah pisau pemotong ketika memarahi dan mengugut untuk membunuh seorang pekerja restoran yang terletak di Jalan Kaskas 3, Taman Cheras, Cheras Kuala Lumpur.

Kejadian yang dirakam dalam satu video itu tular di media sosial sejak petang tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pekerja restoran yang membuat laporan polis memberitahu, dia telah menegur perbuatan suspek yang sering membuang air dan sampah dari atas restoran tersebut.

”Hasil siasatan awal mendapati suspek menyewa rumah di atas restoran dan sering membuang air serta sampah dari rumahnya,” kata Muhammad Idzam.

Katanya, suspek, seorang lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 60 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya berfikiran rasional dan tidak mengambil tindakan melulu sehingga menyusahkan pihak lain.

Orang ramai juga diminta supaya tidak menularkan video yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette
t.t