Keadaan kereta jenis Naza Citra yang terlibat dalam kemalangan dengan MPV polis ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Seksyen 10, Wangsa Maju semalam.

KUALA LUMPUR – Padah memandu tanpa lesen sehingga terlanggar kereta peronda polis (MPV) ketika cuba melarikan diri mengakibatkan seorang remaja disaman dalam kejadian di Seksyen 10, Wangsa Maju, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika melakukan tugas rondaan di sektor lapan di Bukit Antarabangsa, anggota MPV telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Naza Citra yang dinaiki oleh sekumpulan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, anggota kemudiannya memberikan amaran awal serta mengarahkan Naza Citra itu untuk berhenti.

Namun katanya, pemandu kereta terbabit iaitu seorang remaja berusia 15 tahun telah bertindak melarikan diri dengan memandu menghala ke arah Wangsa Maju.

“Kereta peronda terus mengekori Naza Citra itu dalam tempoh masa kira-kira 30 minit. Ketika sampai di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua, Ulu Klang pemandu kereta terbabit cuba untuk membuat pusingan U dengan mengundurkan kenderaannya lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan MPV polis.

“Siasatan mendapati pemandu kereta terbabit cuba melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam satu kenyataan.

Keadaan kereta jenis Naza Citra yang terlibat dalam kemalangan dengan MPV polis ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di Seksyen 10, Wangsa Maju semalam. Gambar ihsan PDRM

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, hasil semakan terhadap pemandu dan kesemua penumpang yang berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun itu mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau dan hasil saringan awal air kencing pemandu kenderaan didapati bebas dari penggunaan dadah.

Jelasnya, kenderaan yang dinaiki remaja terbabit juga tidak bersangkut dengan mana-mana laporan curi.

“Tiada kecederaan dialami oleh mana-mana pihak dalam kemalangan itu dan kes disiasat di bawah Kaedah 10 Pengangkutan Jalan,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, tiga saman turut dikeluarkan di bawah Seksyen 15(1) iaitu tiada lesen memandu dan Seksyen 55 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana enggan memberhentikan kenderaan yang dipandu serta saman terhadap pemilik kerana membenarkan kenderaan tersebut digunakan.

Katanya lagi, saksi bebas yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta untuk tampil menyalurkan maklumat kejadian dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Nurul Faizah binti Ismail di talian 019-2863481. – MalaysiaGazette