Mohd Nor Hamzah

KUALA LUMPUR – Pas mempersiapsiagakan ahli dan penyokongnya dengan segala isu bagi memudahkan mereka menjawab dan menangkis serangan fitnah dari musuh parti.

Justeru, Bendahari Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, dengan persiapan itu, tugas mereka nanti ialah mencipta kandungan dan pengisian dalam media baharu untuk mempertahankan setiap kerusi dimenangi parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita minta semua ahli dan penyokong Pas mengambil bahagian dalam menjawab dan menerangkan semua persoalan berkaitan isu yang melanda di samping menangkis setiap serangan musuh.

“Fitnah yang dilemparkan kepada Pas boleh menyebabkan kerosakan dan kemusnahan.

“Kita bersedia dengan fitnah yang mengelirukan ini kerana ia akan melahirkan pembohongan yang mencetuskan kejahatan khabar angin, propaganda dan adu domba,” katanya di Setiu, Terengganu hari ini.

Menurut Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, fitnah yang gagal dijawab, akan menyebabkan berlaku perpecahan, perbalahan dan ‘peperangan’ yang besar pada akhir zaman ini.

Oleh itu, katanya, petugas dakwah dan siasah kini menghadapi satu zaman yang penuh dengan kepayahan dan kesusahan dalam menghadapi krisis yang kritis ini.

“Sekarang adalah satu zaman yang dikatakan sebagai zaman ‘langit terbuka’ dan manusia tidak lagi melihat ke atas, melihat kepada tuhan, lupa kepada Allah.

“Oleh itu, semua perlu bergabung untuk membina imej pemimpin untuk menggambarkan kehebatan Pas dan kerajaan Terengganu,” katanya. – MalaysiaGazette