Orang ramai membanjiri tapak Jualan Keluarga Malaysia bagi Parlimen Kepala Batas di sini, hari ini.

KEPALA BATAS – Kira-kira 3,000 penduduk sekitar Pulau Pinang membanjiri pekarangan Wisma UMNO di sini sempena Jualan Keluarga Malaysia hari ini.

Jualan bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari itu mendapat sambutan menggalakkan susulan harga barang mentah serta barang keperluan asas dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran terkini.

Antara barangan yang dijual ayam seekor RM5; sekilo daging lembu tempatan (RM30); 5kg beras (RM10); sepapan telur gred C (RM8) serta jualan kombo dua kilo minyak masak bersama sekilo tepung gandum (RM4).

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penduduk boleh menikmati penjimatan pembelian barang keperluan antara 25 hingga 30 peratus menerusi program tersebut.

Reezal Merican.

“Tidak sangka jualan ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan kita akan pastikan program jualan akan datang lebih teratur serta mesra buat golongan warga emas serta orang kelainan upaya (OKU).

”Selain itu, kita juga akan buat kajian berdasarkan hasil jualan hari ini untuk menambah satu kali ganda lagi barang keperluan yang laris dibeli oleh pengunjung.

“Daripada segi bekalan, kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga beberapa pasar raya untuk memastikan semuanya teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak Program Jualan Keluarga Malaysia di pekarangan Wisma UMNO di sini hari ini.

Reezal Merican bersama Mohd Ridzuan meninjau barangan keperluan yang dijual menerusi program Jualan Keluarga Malaysia.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar.

Dalam perkembangan sama, Reezal Merican memberi jaminan akan terus melaksanakan inisiatif tersebut pada setiap minggu sehingga harga barangan keperluan harian berkenaan kembali terkawal.

Pada 2 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jualan itu yang bermula Sabtu lepas akan dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen menawarkan harga barang keperluan harian 20 hingga 50 peratus lebih murah berbanding tempat lain. – MalaysiaGazette