Pelatih menjalani latihan memandu di Institut Memandu Kecemerlangan Latihan (IMKL) Setapak selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan semua institut memandu dan latihan penerbangan beroperasi semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan lensa Malayia Gazette di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2021.
KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong akan memastikan mana-mana pihak yang terlibat dalam isu ‘lesen terbang’ dikenakan tindakan jika dakwaan wujudnya kegiatan tersebut seperti yang tular sejak kebelakangan ini terbukti benar.
Beliau yang memandang serius dakwaan tersebut berkata, isu ‘lesen terbang’ sedang disiasat oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
“Jika terbukti benar dakwaan tersebut (lesen terbang), saya akan pastikan mana-mana pihak yang terlibat dikenakan hukuman setimpal.
“Malah, isu ini juga sedang dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan di laman web rasmi Facebooknya petang tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: 
Kenyataan media JPJ mengenai tindakan susulan dakwaan wujud penjualan lesen terbang oleh pegawai JPJ yang menjadi perbincangan umum negara ini.

Menurut Ka Siong, kegiatan menjual lesen memandu secara haram dengan menerima wang sogokan tanpa perlu melepasi ujian yang ditetapkan di Institut Memandu (IM) adalah perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.

“Sedia maklum bahawa, ujian yang ditetapkan oleh IM merupakan prosedur penting untuk dipatuhi, bukan sahaja untuk mendedahkan tentang peraturan jalan raya, tetapi juga bertujuan mendapat kefahaman jelas mengenai keselamatan jalan raya sebelum dibenarkan memiliki lesen memandu.
“Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga telah mengeluarkan kenyataan media semalam, 4 Disember 2021 berhubung perkara ini,” tegasnya.
Semalam JPJ dalam kenyataannya menegaskan memandang serius kenyataan yang dibuat pemilik akaun Facebook bernama Azrol Affandi Sobry  mengenai lesen terbang.
Individu itu mendakwa terdapat pegawai JPJ yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penjualan lesen memandu secara haram dengan menerima wang sogokan walaupun tidak melepasi ujian yang ditetapkan.
JPJ mengambil tindakan pantas menyiasat dakwaan itu dengan kerjasama SPRM termasuk memanggil individu itu untuk mengambil keterangan bagi mendapatkan kenyataan lanjut untuk membantu siasatan jabatan itu. – MalaysiaGazette