Peniaga berurusan di kaunter bergerak MBSJ untuk memperbaharui lesen perniagaan.

SUBANG JAYA – Peniaga di tiga kategori pasar termasuk medan selera dalam seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) boleh mula membuat pembaharuan lesen mengikut zon masing-masing.

Peniaga pasar pagi, pasar malam, pasar awam dan medan selera kitu boleh ‘walk-in’ terus di dua kaunter bergerak yang dibuka bagi tujuan itu sejak 29 November lalu.

Menurut info menerusi hantaran Facebook MPSJ semalam, kaunter bayaran dibuka selama dua minggu sehingga 13 Disember ini di Dewan Serbaguna MBSJ USJ 7 dan Stadium MBSJ Serdang Jaya di Seri Kembangan.

Sementara itu, info berkenaan turut memaklumkan MBSJ menjalankan kempen tawaran bayar cukai taksiran di aplikasi Shopee.

Kata kenyataan itu, tawaran berkenaan dibuka sebagai usaha MBSJ memberi perkhidmatan terbaik kepada komuniti dalam bandar raya itu.

“MBSJ berkolaborasi bersama Shopee Malaysia dengan memberikan ganjaran potongan sebanyak 10 peratus bagi pelaksanaan bayaran cukai taksiran MBSJ di aplikasi Shopee bermula 1 Disember lalu hingga 28 Januari tahun depan.

“Potongan ini boleh dinikmati melalui kaedah muat turun aplikasi Shopee dan mendaftar sebagai ahli My@MBSJ,” kata kenyataan itu.

Pelanggan juga boleh mengimbas Kod QR yang tertera untuk mengetahui berkenaan inisiatif itu dengan lebih lanjut atau layari portal rasmi MBSJ di www.mbsj.gov.my. – MalaysiaGazette