Setiausaha Angkata Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Ab Razab bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum menurunkan harga barang kepada Pengerusi Perhubungan Awam KPDNHEP, Mohd Arifin A.M.Noordin di hadapan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 06 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak bercadang untuk turun ke jalanan dan melancarkan demonstrasi bagi membantah kenaikan harga barang yang tinggi ketika ini.

Setiausaha AMK Malaysia, Ahmad Syukri Razab berkata, pihaknya mahu memberi ruang kepada Kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan masalah itu yang kian membebankan rakyat selepas pasca pandemik Covid-19.

“Kita perlu menjaga kesesuaian dalam menyuarakan bantahan. Jiwa kita kalau ikut kan memang nak demonstrasi, tapi kita kata buat masa sekarang belum masanya.

“Sekarang bukan masa untuk menuding jari, kita bagi ruang kepada kerajaan khususnya kementerian mengendalikan isu ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu AMK Malaysia menyerahkan memorandum kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meminta menyelesaikan segera masalah kenaikan harga barang di luar pekarangan ibu pejabat KPDNHEP, di sini.

Semalam, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Kuala Langat melancarkan flash mob di Pantai Morib, Banting bagi membantah kenaikan harga barang khususnya berasaskan pertanian yang melambung tinggi di pasaran sejak awal bulan ini.

Jumaat lalu, Flash mob sama turut dilakukan Pejuang Wilayah Persekutuan melalukan bantahan sama namun secara konvoi berkenderaan dari Kompleks Beli-Belah Pavilion hingga ke Sogo.

Dalam pada itu, AMK Malaysia tidak bercadang mengikut jejak langkah parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang turun ke padang membantah kenaikan harga barang kerana setiap parti mempunyai kaedah masing-masing.

“Itu cara masing-masing, saya merasakan tekanan terpulang kepada masing-masing.

“Yang penting mesej yang ingin kita sampaikan kepada kementerian.

“Cuma kita pesan kepada semua dalam keadaan kita masih berdepan dengan pandemik yang tak sudah ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan kaedah turun ke jalanan cara terbaik untuk membuat desakan sekiranya kerajaan masih gagal menangani isu kenaikan harga barang itu.

“Kita merasakan mereka mengambil enteng dan mudah tentang isu yang dibawa ini.

“Sampai masanya kita mungkin terpaksa membuat satu tindakan yang lebih drastik untuk memberi tekanan kepada mereka (kerajaan),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast