Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Derivatives Bhd telah melancarkan Sesi Dagangan Malam Selepas Waktu (T+1) yang akan meningkatkan daya saing serta tarikan produk bursa termasuk pasaran derivatif Malaysia di kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Samuel Ho, ia disediakan bagi kontrak derivatif indeks ekuiti dan komoditi, yang mana Dagangan Selepas Waktu ini adalah amat sesuai untuk pasaran derivatif Malaysia dengan faedah-faedah yang ditawarkan.

“Dengan penemuan harga yang lebih baik, Dagangan Selepas Waktu boleh digunakan sebagai alat lindung nilai dan pengurusan risiko, yang membolehkan pelabur menguruskan pendedahan risiko mereka kepada turun naik harga sebagai tindak balas kepada sebarang pergerakan pasaran utama yang berlaku semasa sesi pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Baru-baru ini, jumlah dagangan bursa bagi minyak sawit mentah niaga hadapan (FCPO) pada suku ketiga tahun ini mencatatkan momentum pertumbuhan positif dengan sejumlah 11.8 juta kontrak, naik daripada 10.8 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Ho berkata, Dagangan Selepas Waktu adalah penting untuk lindung nilai dalam pasaran Minyak Sawit Malaysia (MSM) yang sangat tidak menentu.

Peserta pasaran kini akan mempunyai jalan bagi menguruskan pendedahan risiko mereka dengan lebih baik berdasarkan perkembangan global masa nyata, jelasnya.

Dagangan Selepas Waktu yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia Derivatives adalah lanjutan daripada waktu dagangan pasaran semasa bursa yang sejajar dengan amalan pasaran global.

Peserta pasaran kini boleh berurus niaga antara 9 malam dan 11.30 malam dari Isnin hingga Khamis, sekali gus menutup jurang antara waktu dagangan pasaran tempatan dan asing.

Akibatnya, Dagangan Selepas Waktu bukan sahaja akan mewujudkan peluang perdagangan baharu tetapi ia juga akan menarik penyertaan antarabangsa yang lebih besar.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui www.bursamalaysia.com. – MalaysiaGazette