Mohd Azmir Mohd Nizah USIM anti-party hopping act law party hopping politics
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Perkara itu diputuskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menerusi undian suara majoriti.

Kelulusan tersebut membabitkan peruntukan berjumlah RM1.767 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan Belanjawan 2022.

Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah ketika mengemukan usul berkenaan memberitahu Dewan Rakyat, Kementerian Kewangan mengurangkan peruntukan Bajet 2022 bagi KPKT.

Katanya, pengurangan berjumlah RM8.568 juta itu melibatkan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT).

Usul itu kemudiannya diluluskan Dewan Rakyat dan pindaan tersebut melibatkan Fasal 2 Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 iaitu menggantikan perkataan RM156,412,858,800 dengan perkataan RM156,404,290,800.

Usul itu turut mengemukakan pindaan Jadual kepada RUU berkenaan di bawah ruang ‘Amaun’ bagi Maksud B. 43 dengan menggantikan perkataan ‘1,776,018,800’ dengan perkataan ‘1,767,450,800’; dan pada ‘Jumlah’, dengan menggantikan perkataan ‘156,412,858,800’ dengan perkataan ‘156,404,290,800’.

Antara fungsi PeKT adalah seperti menyampaikan maklumat kepada penduduk setempat berhubung dasar dan inisiatif di bawah KPKT, mewujudkan komuniti yang bersatu padu dan berdaya saing melalui aktiviti-aktiviti kesejahteraan bandar dan seterusnya memperkasakan komuniti dan generasi yang lebih mampan.

Fungsi lain termasuk memantau dan membantu menggerakkan penglibatan komuniti dalam meningkatkan keharmonian komuniti setempat dan menjalankan kegiatan khidmat nasihat bagi memelihara kebersihan, kesihatan dan alam sekitar di sesebuah komuniti. – MalaysiaGazette