Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof pada sidang media berkaitan Operasi Khas Op Roda di Balai Polis Cyberjaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DECEMBER 2021.

CYBERJAYA – Gara-gara rasa tidak berpuas hati kerana ditegur, seorang lelaki bertindak melibas dua pemandu lori syarikat pembersihan menggunakan parang dalam satu kejadian di Flat Taman Permata, Dengkil dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa pertama berusia 24 tahun mengalami kecederaan pada bahagian tangan sebelah kanan dan patah tulang tangan manakala telinga mangsa kedua yang berusia 41 tahun hampir putus.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan melihat suspek sedang dalam keadaan marah dan menendang kereta miliknya sendiri di bawah flat berkenaan sekitar pukul 7.40 pagi.

“Kedua-dua mangsa ketika itu hendak pergi kerja dan melihat suspek sedang menendang keretanya sebelum mereka menegur tindakan yang dilakukan oleh lelaki berkenaan.

“Gara-gara ditegur kemudiannya berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua pihak.

“Beberapa jam kemudian, sekitar pukul 12 tengah hari, kedua-dua mangsa yang ketika itu berada di tempat letak motosikal di bawah blok telah didatangi oleh suspek yang membonceng sebuah motosikal.

“Suspek kemudiannya mengeluarkan sebilah parang dan melibas kedua-dua mangsa sehingga mengalami kecederaan parah sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media berkaitan operasi cegah jenayah Op Roda di Balai Polis Cyberjaya hari ini.

Menurut Wan Kamarul Azran, kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Putrajaya bagi rawatan lanjut.

Tambahnya, suspek warga tempatan berusia 28 tahun itu berjaya ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang berhampiran sebuah premis makanan segera di Kota Warisan sekitar pukul 11.30 malam.

“Punca kejadian dipercayai berlaku kerana suspek dan mangsa saling kutuk mengutuk namun senjata yang digunakan iaitu sebilah parang masih belum ditemui,” ujarnya.

Jelas beliau, siasatan lanjut mendapati suspek yang beralamat di Pulau Carey itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes culik dan ugut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette