KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membenarkan hanya lima pemimpin tertinggi parti memasuki Sarawak untuk tujuan berkempen adalah percubaan untuk menggunakan Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang proses demokrasi.

Naib Ketua Wanita Keadilan Malaysia, Sangetha Jayakumar berkata, lebih mencurigakan dalam pengumuman sama, SPR menyatakan bahawa ceramah fizikal dibenarkan di 64 kerusi kerana liputan internet yang lemah.

“Hakikatnya ceramah fizikal terbuka dibenarkan, menunjukkan bahawa situasi Covid-19 tempatan adalah terkawal.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan sebagai acara unik kerana kawasan geografi yang perlu diliputi sangat luas dan memerlukan tenaga manusia yang ramai.

“Sarawak telah mengenakan protokol saringan dan parameter yang ketat untuk kemasukan semua pelancong, ini sudah memadai untuk memastikan Sarawak selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, SPR dalam satu kenyataan membenarkan ceramah atau syarahan secara fizikal sepanjang tempoh berkempen PRN Sarawak ke-12, hanya melibatkan 64 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai capaian internet tinggi.

Antara kawasan itu adalah Opar, Bukit Sari, Gedong, Dalat, Simunjan, Ba’Kelalan, Marudi, Saribas, Asajaya serta Tanjong Datu dan sebarang penganjuran ceramah dan syarahan selain daripada 64 kawasan itu adalah tidak dibenarkan.

Sangetha juga berkata, pandemik mahupun endemik Covid-19 tidak sewajarnya digunakan sebagai alasan untuk menghalang proses demokrasi di negara ini.

“Endemik Covid-19 adalah normal baharu yang kita hadapi. Ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalang demokrasi, dan proses berkempen dan pilihan raya yang sewajarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette