KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah menetapkan 24 Januari tahun hadapan untuk keputusan berhubung  47 pertuduhan membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang sedang dihadapi oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada hari itu, mahkamah akan menetapkan sama ada Ahmad Zahid akan dilepaskan atau perlu membela diri terhadap kesemua pertuduhan tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu setelah selesai mendengar hujahan kedua-dua belah pihak pendakwaan dan pembelaan pada hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengaku tidak bersalah terhadap terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya seorang pegawai badan awam, iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Dana-dana itu juga digunakan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM). -MalaysiaGazette