Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 54 kampung Orang Asli di Cameron Highlands terlibat dengan pelaksanaan projek jalur lebar satelit di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, projek berkenaan baru bermula pada September lepas dan pada masa ini kerja-kerja lawatan tapak sedang giat dijalankan dan pProjek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Januari tahun depan.

Katanya, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Pahang juga telah meningkat kepada 90.46 peratus pada suku ketiga 2021.

“Di Parlimen Cameron Highlands pula, liputan 4G telah meningkat kepada 69.85 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding 54.43 peratus sebelum pelaksanaan Jendela pada suku ketiga 2020.

“Apabila semua inisiatif Jendela Fasa 1 siap kelak, liputan 4G di kawasan berpenduduk di Parlimen Cameron Highlands dijangka meningkat kepada 79.69 peratus menjelang penghujung tahun 2022,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang bertanya langkah yang akan dilakukan oleh pihak kementerian berikutan isu capaian Internet yang kurang memuaskan di kawasan DUN Tanah Rata dan DUN Jelai, Cameron Highlands.

Mengulas langjut Zahidi berkata, tidak dinafikan peratusan itu masih rendah berbanding sasaran liputan kebangsaan, namun pihak kementerian sentiasa mengkaji keperluan untuk meningkatkan kualiti dan mengisi kelompongan liputan di bawah pelan Jendela fasa dua kelak.

Oleh yang demikian beliau berkata, lebih banyak projek baharu dengan menggunakan pelbagai teknologi akan dirancang bagi meningkatkan lagi liputan kepada 100 peratus di kawasan berpenduduk.

Selain itu katanya, usaha penambahbaikan rangkaian akan diteruskan di kawasan-kawasan yang telah mempunyai liputan untuk memberikan kualiti pengalaman yang lebih baik kepada pengguna.

“Pelaksanaan Jendela akan terus digiatkan bagi memastikan impak pelaksanaannya dapat diterima dengan cepat oleh rakyat.

“Ini termasuklah mengkaji semula secara berkala sasaran-sasaran awal yang telah ditetapkan sebelum ini seperti bilangan menara baharu yang akan dibina, stesen pemancar yang dinaik taraf serta premis-premis yang mendapat akses gentian optik bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa diutamakan,” tambahnya. – MalaysiaGazette