Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Malaysia menyumbang sebanyak 842,600 dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca kepada Bangladesh dan Laos.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kedua-dua negara tersebut bakal menerima sumbangan itu hari ini dan Rabu depan.

“Kerajaan memutuskan untuk menyumbangkan 559,200 dos vaksin jenis AstraZeneca kepada Bangladesh dan 283,400 dos vaksin jenis AstraZeneca kepada negara Laos,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Khairy, keprihatinan kerajaan itu berdasarkan kadar vaksinasi yang masih rendah di kedua-dua negara terbabit.

“Sehingga hari ini, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi Bangladesh adalah 20 peratus manakala Laos adalah 42 peratus,” katanya lagi.

Namun begitu, Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kepada seluruh Keluarga Malaysia bahawa sumbangan yang diberi tidak menjejaskan stok bekalan untuk program vaksin negara.

Tambah Khairy, Malaysia sebelum ini juga pernah menerima sumbangan vaksin dari Jepun, Amerika Syarikat, China dan United Kingdom dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2,913,790 dos.

Selain itu,  KKM dan Wisma Putra akan mengenal pasti negara-negara yang masih rendah kadar vaksinasi untuk pemberian sumbangan vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette