Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof memberi taklimat kepada anggota polis pada Operasi Khas Op Roda di Balai Polis Cyberjaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DECEMBER 2021.

CYBERJAYA – Seorang pesara tentera maut dibunuh anak lelakinya yang mengalami sakit mental dalam satu kejadian di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil dekat sini pada 1 Disember lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 7 malam itu, mangsa seorang warga tempatan berusia 73 tahun maut dipercayai dihentak menggunakan kaki oleh suspek pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, sejurus menerima laporan sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki warga tempatan sedang mengamuk.

Menurut beliau, anggota kemudiannya bertindak menahan suspek berusia 48 tahun dan tidak bekerja itu di pekarangan rumah.

“Pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah dengan kesan carik pada bahagian dada serta tangan kiri dan kanan disyaki dicederakan oleh suspek ketika sedang mengamuk dengan menggunakan sebilah pisau pemotong kek.

“Keterangan awal saksi iaitu isteri kepada mangsa mendedahkan bahawa anaknya itu mengamuk kerana tidak makan ubat yang diberikan oleh hospital secara berjadual,” katanya pada sidang media berkaitan operasi cegah jenayah Op Roda di Balai Polis Cyberjaya hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul Azran berkata, siasatan awal mendapati mangsa menghidap penyakit anemia, sawan dan tidak bergerak aktif akibat sakit tua manakala suspek merupakan seorang pemegang kad orang kurang upaya dan menerima rawatan di Klinik Psikiatrik Hospital Banting.

Katanya lagi, dalam kejadian itu, suspek juga cuba mencederakan ibunya namun wanita berusia 67 tahun itu sempat melarikan diri.

Jelas beliau, pemeriksaan yang dijalankan oleh Unit Forensik di lokasi kejadian turut menemui sebilah pisau pemotong kek dan kesan darah.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut dan hasil daripada bedah siasat mendapati penyebab kematian adalah akibat hentakan di bahagian muka yang menyebabkan keretakan pada tengkorak,” ujarnya.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette