Gambar hiasan

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebagai langkah penstabilan harga barangan mentah, terutamanya sayuran, ayam dan telur.

Menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, skim tersebut akan berkuat kuasa pada 7 hingga 31 Disember 2021.

Seperti yang disebutkan di atas, Skim Harga Maksimum ini memfokuskan kawalan harga barangan mentah tertentu seperti beberapa jenis sayuran, telur ayam dan beberapa kategori ayam berdasarkan kualiti dan saiz.

Bahan mentah yang terlibat dalam kawalan harga dalam skim ini adalah ayam (hidup, standard dan super), telur ayam (gred A, B dan C), kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import dan timun.

Dilaporkan juga bahawa harga maksimum ayam dan telur akan dilakukan pada peringkat ladang, borong dan runcit, manakala untuk sayuran pula pada peringkat borong dan runcit.

Walaupun masih awal untuk kita menilai keberkesanan inisiatif ini untuk mengawal harga barangan mentah, terdapat beberapa isu yang perlu dipertimbang kerajaan agar skim ini dilakukan secara berkesan dan tidak menindas pemegang taruh dalam isu kawalan harga ini.

Pengaruh orang tengah terhadap harga akhir kepada pengguna

Dalam suatu laporan (Sinar Harian, 2 Disember 2021) yang mengejutkan, tinjauan pihak kerajaan negeri Melaka dan KPDNHEP mendapati terdapat penglibatan sehingga tiga atau empat orang tengah untuk suatu barangan, daripada pembekal hinggalah kepada peniaga akhir.

Dilaporkan juga bahawa untuk setiap peringkat orang tengah, mereka mengambil untung dalam RM1 atau RM2 untuk setiap barangan.

Maka tidak hairanlah laporan sama turut mendedahkan bahawa harga bendi di pasar dijual sehingga RM8 sekilogram, berbanding RM4 sekilogram di ladang.

Jika krisis ‘untung atas angin’ yang dilakukan oleh orang tengah ini tidak ditangani, maka Skim Harga Maksimum yang akan diperkenalkan tersebut mungkin tidak begitu memberi kesan kerana skim tersebut hanya mempertimbangkan harga pada peringkat ladang, borong dan runcit.

Berdasarkan kes harga bendi di atas contohnya, jika ada empat peringkat orang tengah dan setiap peringkat ambil untung RM2, takkanlah pihak kerajaan mahu turunkan harga dengan tetapkan harga maksimum pada RM7.50, yang mana peniaga runcit hanya akan untung 50 sen saja sekilogram?

Katakanlah jika kerajaan ingin melaksanakan skim ini dengan cara kesan riak (ripple effect) terhadap harga barangan akan terhasil, jika kerajaan memaksa peladang turunkan harga bendi tersebut sehingga RM3 sekilogram sekali pun, hal ini tidak juga menjamin keadilan kepada penjual runcit kerana terdapatkemungkinan peningkatan harga melalui orang tengah.

Maka jika katakan masih ada empat peringkat orang tengah yang perlu dilalui dan setiap peringkat masih mengambil untung atas angin, peniaga runcit juga terpaksa mempertimbang menaikkan harga sehingga lebih daripada 100 peratus harga daripada ladang.

Jika kerajaan memaksa juga suatu harga maksimum yang akan menyebabkan peniaga runcit kecil-kecilan kekurangan untung atau langsung rugi, hal ini juga akhirnya akan merugikan pengguna apabila peniaga kecil tidak mampu bertahan untuk menjual barangan mentah kepada mereka.

Mahu tidak mahu, kebajikan peniaga akan terkesan sama jika krisis orang tengah ini tidak diambil serius.

‘Membanteras’ orang tengah tidak semudah yang disangka

Namun begitu, satu perkara yang menambahkan lagi kerumitan isu orang tengah ini ialah isu fungsi orang tengah sebagai pengedar.

Pakar sekuriti makanan negara daripada Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr Shukor Juraimi menegaskan bahawa orang tengah ini berkemungkinan besar disebabkan oleh manipulasi yang dilakukan oleh orang tengah.

Namun beliau sendiri tidak menafikan bahawa “..peranan orang tengah ini sedikit sebanyak penting untuk melancarkan pengedaran bekalan makanan asas ke seluruh negara.”
Hal ini menunjukkan terdapatnya peranan signifikan orang tengah dalam fungsi logistik bekalan barangan.

Mahu tidak mahu, perlu diakui bahawa menghapuskan orang tengah secara 100 peratus adalah tidak realistik.

Penghapusan orang tengah sepenuhnya bermaksud peladang perlu mengedarkan sendiri hasil tani mereka, yang juga bermakna mereka terpaksamengeluarkan kos yang lebih untuk mengedarkan hasil tani mereka melangkaui kawasan sekitar mereka sahaja.

Antara beberapa usaha yang boleh dilakukan kerajaan ialah dengan mengadakan suatu situasi yang tidak menggalakkan lapisan orang tengah yang terlalu banyak dan memberikan lebih galakan berbentuk kewangan untuk peladang agar mereka mengedarkan sendiri hasil tani mereka.

Sungguhpun begitu, secara realistiknya, orang tengah masih diperlukan bagi meningkatkan kecekapan pengedaran kerana itu akan menjadi fokus mereka.

Suatu yang masih boleh dikawal kerajaan ialah sama ada kewujudan suatu peringkat orang tengah itu adalah sekadar mengambil kesempatan untuk mengambil keuntungan ‘atas angin’.

Maka yang ambil keuntungan atas angin itulah yang perlu pihak berwajib siasat hinggalah ke lubang cacing.

Akhir sekali, tidak dinafikan inisiatif Skim Harga Maksimum itu menampakkan adanya usaha pada pihak kerajaan.

Namun usaha tersebut perlu berpijak pada realiti yang berlaku di lapangan iaitu pengaruh orang tengah, agar pelaksanaan skim ini lebih membumi.

Wan Salman Wan Sallam
Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia
Bandar Tun Razak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast