KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menyelesaikan punca utama krisis kenaikan harga barang di pasaran ketika ini.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pelaksanaan skim itu menunjukkan kerajaan telah gagal mengawal inflasi harga barang sehingga terpaksa mengambil tindakan drastik sebegini.

“Tidak dinafikan pelaksanaan harga maksimum, ataupun harga siling dapat mengelakkan kenaikan harga barangan dalam jangka masa pendek.

“Namun, dasar ini akan mendatangkan kesan besar kepada seluruh rantaian bekalan dan memangsakan pihak pengeluar, pemborong, dan peruncit.

“Pelaksanaan harga maksimum semata-mata tidak menyelesaikan punca utama harga barang naik dan merupakan jalan singkat yang tidak mampan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Poay Tiong juga melahirkan rasa kesal apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memperkenalkan skim harga maksimum selepas Lim Guan Eng membangkitkan isu kenaikan harga barang di Parlimen.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak profesional, malah bersifat politik dengan sikap semua salah DAP.

“Kerajaan harus sedar bahawa kenaikan harga barang disebabkan kegagalan kerajaan menyokong dan mengawal ekonomi negara dengan baik, khususnya dalam situasi pandemik Covid-19.

“Pihak industri telah banyak kali mengutarakan masalah kekurangan pekerja. Ini memberi kesan kepada kadar dan kos pengeluaran mereka,” katanya.

Selain itu, harga barangan input seperti baja, dedak haiwan, dan bahan pembinaan, khususnya yang bergantung kepada pengimportan, juga telah meningkat.

“Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dalam mengatasi krisis kenaikan harga barang ini.

“DAP mengulangi saranan kami untuk memperuntukkan RM3 billion daripada Cukai Makmur ke dalam Dana Penstabilan Harga Barang Nasional.

“Dana tersebut boleh digunakan untuk memberi insentif pengeluaran atau subsidi kos kepada pengeluar, atau untuk membeli terus daripada pengeluaran dan mengurangkan kos logistik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette