Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad hadir pada Majlis Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 Musim Haji di Menara Tabung Haji Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta menyiasat kandungan digital yang dipercayai bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan norma rakyat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, kandungan yang mengandungi unsur-unsur seperti gay, lesbian mahu pun transgender adalah tidak beretika dan ditolak sama sekali oleh semua agama.

“Jika perkara itu melibatkan filem kita akan panjangkan kepada SKMM untuk menyiasat kerana ia bertentangan dengan norma rakyat negara ini.

“Ia (sama sekali) tidak beretika (dan) semua agama tidak boleh terima tentang konsep berkenaan gay ini,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-38 Musim Haji 1443H di Menara Tabung Haji (TH) Jalan Tun Razak hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu seorang pelakon remaja berusia 17 tahun yang membintangi siri bertemakan gay berjudul Stay Away From Me.

Menurut laporan sebuah portal berita, siri berkenaan bakal ditayangkan di aplikasi temu janji gay serta penstriman video bermula semalam serta telah mencetuskan kontroversi apabila mula tular di aplikasi TikTok.

Mengulas lanjut, Idris berkata, pihak berkuasa agama negeri berkaitan juga diminta untuk memanggil pelakon terbabit untuk menyoal dengan lebih lanjut.

“Kalau berlaku di mana-mana negeri (mereka) panggil untuk tanya pada dia (pelakon) sendiri. Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) kita hanya penyelaras sahaja kita tidak ada bidang kuasa untuk menghukum kerana bidang kuasa kerajaan negeri,” ujarnya. – MalaysiaGazette