Superintendan Zaiham Mohd Kahar (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan kes di IPD Bentong

BENTONG – Polis Bentong menahan sepasang suami isteri yang terlibat kes pecah kenderaan dan bangunan di Genting Highlands.

Ketua Polis Bentong, Superintendan Zaiham Mohd kahar berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada hari Khamis dan isterinya pada hari Jumaat.

“Polis turut menemui barang-barang yang dilaporkan dicuri pada lelaki itu dan kenderaan yang dipandunya.

“Malah, suspek membuat pengakuan terlibat dengan dua kejadian curi dalam bangunan dan tiga kejadian pecah kenderaan di kawasan Genting Highlands bersama isterinya.

Jelas Zaiham, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau yang mana tiga daripadanya kes ragut, satu kes imigresen dan satu kes dadah.

Polis turut menyita kenderaan dipercayai disewa suspek dari 29 November 2021 hingga 27 Januari 2022.

Tambah Zaiham, ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methapethamine dan ganja, selain menemui dadah pada tubuh suspek.

“Tiga plastik lutsinar dan setiap satu plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu (a.b 1.88 gram), satu plastik lutsinar dan di dalam terdapat ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja (a.b 3.25gram)

Suspek direman selama tujuh hari bermula dari 2 Disember 2021 sehingga 8 Disember 2021 manakala isterinya direman empat hari mulai semalam di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Suspek juga mempunyai tiga pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette