Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada Majlis Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dilancarkan hari ini akan berperanan memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan Bumiputera terdahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkatam TPB2030 menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta didukung oleh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia.

Menurutnya, TPB2030 telah mengenal pasti enam Sasaran Utama untuk dicapai menjelang tahun 2030 dan sasaran ini bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada pertanian dan komoditi, ekonomi digital, halal dan makanan, kewangan Islam 2.0, pengangkutan dan mobiliti lestari, pembuatan serta pelancongan.

“Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur. Inklusif dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan Bumiputera minoriti. Sepertimana yang saya sebutkan dahulu, tiada yang akan dibiarkan terpinggir,” katanya menyampaikan ucaptamanya dalam majlis pelancaran TPB2030 di sini hari ini.

Hadir sama dalam acara itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latif Ahmad.

Tegas beliau, semua pihak mesti mengambil iktibar daripada segala program Bumiputera yang sudah diusahakan selama ini tetapi masih gagal mencapai sasaran asal.

“Maka, dalam merencanakan TPB2030, pendekatan sesuai dengan abad ke-21 mesti diutamakan supaya kita tidak sekali lagi hanya gah dalam ucapan dan pelan atas kertas, tetapi tidak dapat merealisasikan keberhasilan yang mampu benar-benar mengubah nasib Bumiputera di negara ini.

“Kejayaan Bumiputera bukan hanya agenda Bumiputera semata-mata, tetapi akan membawa pulangan kepada negara secara keseluruhannya,” tambah beliau.

TPB2030 mesti bermatlamat untuk melonjakkan kedudukan Bumiputera melalui merit dan daya saing kerana tanpa pembangunan kapasiti dan kemampuan Bumiputera, objektif besar kita tidak akan tercapai.

Untuk itu, Ismail Sabri berkata, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang menjadi penyelaras utama dan pemboleh cara strategik pembangunan sosioekonomi Bumiputera juga mestilah moden dalam pendekatannya menjayakan agenda Bumiputera.

Teraju dan agensi pelaksana lain mestilah memastikan tadbir urus yang tertinggi dipraktikkan dan kualiti piawaian diutamakan.

”Hala tuju ini bakal menjadi pemangkin kepada kewujudan ekosistem Bumiputera yang berkembang maju, selaras dengan kepesatan teknologi dan pembangunan global.

“Semangat di sebalik TPB2030 ini adalah untuk melahirkan generasi baharu Bumiputera yang berwibawa, berpaksikan nilai- nilai murni, mempunyai sahsiah jati diri yang berintegriti, tidak bertongkat, tabah, berdikari dan kompetitif dari segi usaha dan pemikiran,” kata Ismail Sabri.

”Kita turut mampu memacu agenda Bumiputera ke peringat global dengan pemerkasaan bidang berteknologi tinggi, mempertingkat kualiti lulusan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya lagi.

Untuk rekod, TPB2030 adalah naskhah rujukan sedekad akan datang bagi pemerkasaan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera dan merupakan kesinambungan kepada inisiatif sera program program pemerkasaan Bumiputera. – MalaysiaGazette