Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada majlis Pelancaran Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Menteri Dalam Negeri ketika di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pulapol, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 DECEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia akan menubuhkan satu Unit Siasatan Jenayah Kematian dalam Tahanan (USJKT) bagi mengendalikan dan menyiasat kes-kes yang membabitkan kematian di dalam tahanan polis pada masa akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, unit baharu itu akan ditubuhkan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan akan berfungsi bermula 1 Januari 2022.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kita sering menerima macam-macam rungutan tentang kematian dalam tahanan dan lokap, justeru kita sedang merancang untuk melakukan sesuatu yang baik.

“Unit ini akan ditubuhkan secepat mungkin dan ia akan diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat Superintendan dan akan dianggotai 12 anggota polis dan juga seorang pegawai awam kesemuanya seramai 14 orang,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perluasan Fungsi Pos Kawalan Sebagai Balai Polis di 11 Pos Pasukan Gerakan Am (PGA).

Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau juga menambah, mulai 1 Januari nanti, semua kes kematian dalam lokap serta tahanan polis akan disiasat oleh unit ini di Bukit Aman dan bukan lagi polis di setiap balai.

Langkah ini merupakan sebagai keprihatinan PDRM terhadap segala rungutan yang diluahkan rakyat mengenai insiden kematian dalam tahanan.

“Kita setuju dengan penubuhan unit baharu itu dan ia akan membantu kerajaan meningkatkan integriti dan imej polis dalam isu rakyat.

“Unit ini akan tertumpu kepada siasatan polis yang telus membabitkan unsur jenayah, mengenalpasti suspek, kecuaian, kelalaian anggota,pematuhan SOP dan arahan yang dikeluarkan, ” ujarnya.

Menurutnya, dari tahun 2015 hingga 2021, sebanyak 176 kes kematian dilaporkan iaitu 82 daripadanya membabitkan kematian dalam lokap manakala 94 lagi dalam tahanan.

Beliau juga menjelaskan, kematian lokap berlaku bukan sebagai isu perkauman seperti dibangkitkan sesetengah pihak di luar sana.

“Ia (kematian) tidak ada kena mengena dengan gender, serta perkauman sebaliknya ia adalah perkara yang tak boleh dielakkan dan berlaku atas pelbagai faktor kemungkinan iaitu sakit dan sebagainya, maka kita tak boleh tuduh atau salah sesiapa dalam hal ini,” ujarnya.

Hamzah menambah, kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk melantik doktor panel untuk membolehkan mana-mana individu yang ditahan polis dirujuk segera ke klinik swasta.

“Jika ikutkan SOP sedia ada kita perlu menunggu untuk doktor atau pegawai perubatan yang akan dihantar oleh Kementerian Kesihatan yang mana ia akan memakan masa yang lama.

“Jika khidmat doktor panel kilinik swasta dibenarkan maka seseorang tahanan boleh segera dirujuk kepada panel untuk proses saringan kesihatannya untuk mengetahui status kesihatan semasa tahanan itu sebelum dibawa ke lokap.

“Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sudah membincangkan perkara ini dengan JIPS supaya beliau serius dalam memastikan imej PDRM bertambah baik,” tegas beliau.-MalaysiaGazette