Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim beramah mesra bersama pemilik rumah Iskandar Dzulkarnain Yusof dan Siti Nurulain Mohd Bahiran (kiri) selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kuchaimas di Kuchai Lama, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 62,836 unit rumah melibatkan 102 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia telah mendapat kelulusan kerajaan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan sehingga November lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 95 buah projek terletak di ibu negara, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan.

“Sasaran Residensi Wilayah Keluarga Malaysia adalah untuk menyediakan sebanyak 80,000 unit dalam tempoh 10 tahun sehingga 2028 dengan sasaran 8,000 unit setahun.

“Saya minta Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi-agensi di bawahnya memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan kerjasama pemaju swasta kerana ini adalah penting untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Saya juga amat menghargai komitmen dan dedikasi pemaju dalam menjayakan program ini yang membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk warga Wilayah Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Residensi Kuchaimas di Kuchai Lama hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Pengerusi Aset Kayamas Sdn. Bhd., Tan Sri Chai Kin Kong.

Menurut Ismail Sabri, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030, kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik yang selesa kepada semua golongan Keluarga Malaysia termasuk warga yang berpendapatan sederhana rendah atau M40.

“Melalui inisiatif Residensi Wilayah Keluarga Malaysia tumpuan adalah di kawasan pesat membangun walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.

“Ia bertujuan merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri dengan persekitaran yang selesa dan kondusif. Apa yang menjadi keutamaan adalah harga rumah tersebut berpatutan dan mampu milik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Residensi Kuchaimas merupakan salah satu projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang dibina di atas tanah berkeluasan 1.58 dengan menyediakan sebanyak 478 unit kediaman pada harga RM198,000 setiap unit.

Jelasnya, penghuni di Residensi Kuchaimas turut menggambarkan keterangkuman Keluarga Malaysia dengan 60.3 peratus merupakan kaum Bumiputera, 37.4 peratus kaum Cina dan 2.3 peratus kaum India.

“Sudah tentu dengan keselesaan ini masyarakat berbilang kaum dalam Keluarga Malaysia dapat hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

“Saya yakin komuniti Residensi Kuchaimas akan meraikan persamaan dan perbezaan berdasarkan nilai-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette