Home Nasional Berang cinta ditolak, gelandangan bakar kereta wanita

Berang cinta ditolak, gelandangan bakar kereta wanita

KUALA LUMPUR – Gara-gara cinta yang diluahkannya sejak setahun lalu ditolak, seorang gelandangan bertindak membakar kereta milik seorang wanita di Taman Bukit Serdang dekat sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, suspek lelaki itu berjaya dicekup polis bertindak atas laporan daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, pada 5 Disember lalu, pengadu mendakwa keretanya yang diparkir di kawasan Pangsapuri Seri Pagi dibakar dan mengetahui perkara itu daripada jirannya pada pukul 5. 20 pagi.

“Terkejut dengan maklumat jirannya, mangsa sekitar pukul 6.05 pagi turun ke bawah untuk melihat keretanya sebelum mendapati pihak bomba sedang memadamkan api pada kenderaannya.

“Ekoran hasil soal siasat dan penelitian rakaman kamera litar tertutup, polis menyerbu dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di kawasan Bandar Kinrara, Puchong pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anbalagan, dalam serbuan tangkapan tersebut, beberapa rampasan dibuat seperti sebuah motosikal, sepasang kasut, sepasang baju dan seluar, sebuah topi keledar dan satu pemetik api yang disyaki digunakan suspek semasa kejadian.

Menurut beliau, hasil soal siasat awal mendapati suspek merupakan gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan tidak memiliki sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

Kereta milik mangsa wanita yang dituang petrol dan dibakar oleh lelaki gelandangan kerana kecewa cintanya ditolak pengadu dalam kejadian awal pagi Ahad lalu.

“Suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan disahkan negatif pengaruh dadah.

“Siasatan lanjut polis mendapati punca menyebabkan suspek membakar kereta wanita itu disebabkan rasa tidak berpuas hati kerana rasa cintanya dengan mangsa telah ditolak sejak setahun yang lepas,” katanya.

Suspek kini telah direman dari 6 hingga 10 Disember ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat api membakar kenderaan yang memperuntukkan hukuman selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya dengan cadangan pendakwaan di mahkamah dalam masa terdekat,” tegasnya.

Dalam pada itu video yang memaparkan insiden itu juga tular di media sosial sehingga mendapat reaksi netizen.

Dalam video berdurasi satu minit 28 saat itu, suspek menunggang motosikal sebelum memberhentikannya di tepi deretan kenderaan yang diparkir di hadapan rumah flat tersebut.

Kemudian suspek mendekati kereta Nissan Almera putih disyaki milik mangsa sebelum menuang petrol sebelum membakar menggunakan pemetik api. – MalaysiaGazette