Sebanyak 4,817 kes sembuh dilaporkan di dalam negara setakat 12 tengahari tadi dan jumlahnya rendah berbanding kes positif Covid-19 hari ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,817 kes sembuh dilaporkan di dalam negara setakat 12 tengahari tadi dan jumlahnya rendah berbanding kes positif Covid-19 hari ini.

Ia sekaligus menjadikan jumlah kes kumulatifnya kini 2,576,870 kes atau, 96.6 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Sebanyak 4,965 kes baharu jangkitan positif dilaporkan setakat 24 jam yang lalu di mana 29 daripadanya kes import membabitkan 22 warganegara dan tujuh kes warga asing.

“Manakala sebanyak 4,936 kes adalah tempatan yang mana 4,715 daripadanya atau 95.5 peratus adalah warganegara sementara 221 lagi atau 4.5 peratus merupakan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi pula sebanyak 437 kes iaitu 375 disahkan Covid-19 manakala 62 kes adalah disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Sebanyak 240 kes lagi memerlukan peralatan bantuan pernafasan yang mana 167 kes adalah disahkan Covid-19 sementara 73 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

Daripada 4,965 kes baharu harian yang dilaporkan hari ini, 96 kes atau 1.9 peratus merupakan kategori 3, 4, dan 5 dan 4,869 kes iaitu 98.1 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Dari segi perincian mengenai kluster Covid-19 di dala negara, setakat 12 tengahari tadi, sebanyak sembilan kluster baharu telah dikesan

“Jumlah kluster yang telah ditamatkan adalah sebanyak 5,757 kluster dan sebanyak 235 kluster masih aktif,” tegasnya.- MalaysiaGazette