Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SEGAMAT – Dua lelaki meninggal dunia ditempat kejadian dan seorang lagi cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan dua buah lori di ST Rhodes Club, Ladang Johor, Labis, di sini, pada pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia Negeri Johor, mangsa yang terkorban ialah pemandu lori Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ramli Ibor, 58, dan kelindan, Muhammad Helmi Karim, 30, yang  ditemui tersepit di dalam lori terbabit.

Bagaimanapun, pemandu lori 3 tan Isuzu, Nor Fazli Ramli, 30, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat tersepit di dalam lori yang dipandunya itu.

Keadaan dua buah lori yang bertembung di ST Rhodes Club, Ladang Johor, Labis di sini 8 pagi tadi mengakibatkan dua mati dan satu cedera parah.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori 3 tan jenis Isuzu membawa muatan besi binaan telah bertembung dengan sebuah lori SWM Corp.

“Kita difahamkan lori SWM Corp dari arah Yong Peng menuju ke Labis dan lori Isuzu dari arah Labis ke Yong Peng,” katanya.

Jelasnya, dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Segamat menerima rawatan, ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast