Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada media mengenai isu kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan kes pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan anak guamnya, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika di pejabatnya Messrs Shafee & Co, Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 DECEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Pasukan bela yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak telah memohon kepada mahkamah untuk melapangkan dua tarikh iaitu hari ini dan esok bagi kes penyewelengan dana SRC International kerana ada antara mereka yang menjadi kontak rapat Covid-19.

Sepatutnya hari ini merupakan pendengaran permohonan memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes SRC International dan keputusan rayuan pula dijadualkan pagi esok.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co yang ditandatangani Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah menghantar permohonan ini kepada Mahkamah Rayuan selepas anak lelakinya yang juga salah seorang peguam bela kes ini didapati menjadi kontak rapat atau kontak kasual.

Dalam surat itu yang turut dikongsikan kepada MalaysiaGazette memaklumkan, ketika pasukan bela sedang menyiapkan hujahan bertulis bagi prosiding pagi ini, mereka mendapat panggilan telefon pada hari Ahad lalu daripada seorang peguam yang memberitahu  ibunya positif Covid-19 

Kata Muhammad Shafee, pada hari Sabtu lalu, pihaknya telah mengadakan sambutan serta perjumpaan bersama keluarga dan rakan yang juga telah dihadiri oleh peguam dan ibunya.

“Sejurus mendapat panggilan telefon itu, semua peguam yang hadir telah membuat ujian antigen kendiri dan anak saya (Muhammad Farhan) telah didapati positif manakala yang lain negatif.

“Anak guam kami, Datuk Seri Najib Tun Razak juga ada hadir ke Shafee & Co bagi tujuan semakan dan ikrar afidavit yang telah difailkan hari ini (semalam).

“Oleh yang demikian, semua status aplikasi MySejahtera milik semua berubah kepada ‘kontak rapat’ dan masing-masing sedang tunggu untuk ujian PCR.

“Kami mempunyai tanggungjawab sosial untuk memaklumkan kepada mahkamah dan juga pihak-pihak terlibat.

”Kami mohon untuk mahkamah melapangkan tarikh pendengaran (7 Disember) dan keputusan SRC (8 Dis) kepada tarikh lain memandangkan insiden ini,” katanya dalam surat itu.

Sepatutnya esok Mahkamah Rayuan akan memutuskan sama ada untuk membebaskan Najib atau mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik, SRC International.

Pasukan pembelaan mengemukakan rayuan dengan 307 alasan mengapa Najib tidak patut didapati bersalah atas semua tujuh tuduhan selama hampir tujuh bulan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang dijadualkan bermula jam 9 pagi. -MalaysiaGazette