Petugas menggunakan vaksin jenis Sinovac untuk diberikan kepada warga emas di Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 07 JUN 2021. Sinovac booster dose shot Pharmaniaga
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Vaksin keluaran Sinovac Biotech Ltd (vaksin Sinovac) turut dijual dalam pasaran swasta, justeru terdapat sebilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang akan menjual vaksin tersebut secara terus bagi penerimaan dos penggalak.

Penjualan vaksin ini di PPV fasiliti kesihatan swasta bukanlah di bawah program PICK dan tidak dikawal selia oleh ProtectHealth.

ProtectHealth berkata, penerima dos penggalak yang mahu mendapatkan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak adalah dinasihatkan untuk bertanya kepada PPV fasiliti kesihatan swasta terlebih dahulu sekiranya fasiliti tersebut menawarkan vaksin Sinovac melalui PICK ataupun tidak.

Bagaimanapun, fasiliti kesihatan swasta yang menjalankan pemberian vaksin Sinovac melalui PICK dan program pembelian vaksin perlu mengutamakan pemberian vaksin Sinovac di bawah PICK yang diberikan secara percuma terlebih dahulu sebelum menawarkan vaksin Sinovac secara pembelian kepada penerima vaksin.

”PPV juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada penerima dos penggalak akan ketersediaan vaksin Sinovac di bawah PICK dan menjelaskan kepada mereka yang program pembelian vaksin di fasiliti kesihatan swasta tidak ditanggung oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

ProtectHealth juga menegaskan semua jenis vaksin di bawah PICK adalah percuma dan kosnya telah ditanggung oleh kerajaan.

Vaksin Sinovac juga ditawarkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta dan PPV off-site di bawah seliaan ProtectHealth dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dos penggalak.

Namun, ketersediaan vaksin Sinovac adalah terhad dan ianya akan diberikan keutamaan kepada mereka yang mempunyai alahan terhadap mana-mana vaksin Covid-19 selain daripada vaksin Sinovac sepertimana yang telah disyorkan oleh pakar perubatan bertauliah.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengesyorkan penerimaan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca sebagai dos penggalak adalah lebih disarankan kerana ianya mampu memberikan perlindungan yang lebih baik.

Sehingga 6 Disember 2021, PPV fasiliti kesihatan swasta dan off-site di bawah seliaan ProtectHealth telah menyumbang lebih 1.91 juta dos penggalak bersamaan 63% daripada keseluruhan 3,048,396 dos yang telah diberikan dalam PICK. – MalaysiaGazette