“Tangan saya rasa kebas mencucuk-cucuk dan ngilu. Saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaan mereka ketika musim sejuk.” – Irma Hasmie
Bercerita mengenai pengalamannya ketika mengikuti misi kemanusiaan bersama Islamic Relief Malaysia ke Gaziantep, sempadan Turki, Irma Hasmie mengakui dia tidak mampu bertahan jika terpaksa tinggal dan menjalani kehidupan pada musim sejuk di sana.
“Pengalaman saya sewaktu menyantuni pelarian Syria di Turki awal tahun lepas, saya memang tidak mampu menahan kesejukan tanpa alat pemanas.
“Saya masih ingat ketika kami menaiki bas untuk menziarahi penerima manfaat, bas yang kami naiki berhenti di kawasan pergunungan. Hanya dalam tempoh setengah jam sahaja berada di luar bas, tangan saya sudah mula rasa kebas mencucuk-cucuk dan ngilu. Saya terus berlari untuk menaiki bas kembali.
“Saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaan pelarian Syria yang terpaksa menjalani kehidupan dalam musim sejuk mencengkam tanpa sebarang kelengkapan,” cerita Irma.
Tambah Irma lagi, keadaan tersebut berlaku mungkin kerana dia tidak biasa dengan cuaca sejuk begitu memandangkan Malaysia beriklim khatulistiwa. Namun, pengalaman yang dilalui itu cukup untuk membuatkan dia merasai cabaran dan penderitaan penduduk Syria apabila tiba musim sejuk.
Tahun ini Syria telah memasuki angka satu dekad terperangkap dalam konflik.
Berdasarkan laporan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA), seramai 11.1 juta penduduk di Syria memerlukan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Krisis yang melanda mengakibatkan penduduk setempat berdepan masalah kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan, minyak dan bencana COVID-19 menambahkan lagi tekanan sedia ada.
“Penderitaan penduduk Syria tidak boleh kita lupakan. Kita perlu sama-sama membantu mereka sepertimana kita bersatu dalam membantu rakyat Palestin. Mereka semua saudara kita walaupun jauh di mata dan tidak pernah bersua muka.
“Musim sejuk yang mereka hadapi bukan sahaja ada salji tetapi keadaannya berangin dan juga ada ribut. Bayangkan jika struktur rumah yang kukuh pun boleh musnah apabila dilanda ribut salji, inikan pula khemah kanvas biasa.
“Menurut cerita salah seorang kakitangan Islamic Relief yang berkongsi pengalamannya bersama saya, ketika ribut salji melanda, kaum ibu akan memeluk erat anak-anak mereka manakala si ayah pula terpaksa berkorban keluar da ripada khemah untuk memegang dan menahan khemah bagi menghalang ia terbang atau musnah dibawa ribut salji.
”Apa yang menyedihkan lagi, disebabkan ribut dan sejuk, ada ayah yang pengsan dan khemah mereka terbang dan musnah. Kelengkapan mereka basah. Anak-anak menggigil kesejukan.
”Akhirnya, mereka terpaksa menumpang di khemah orang lain. Tak dapat saya nak gambarkan betapa sukarnya survival mereka kerana jika ribut melanda pastinya bukan satu atau dua khemah sahaja yang musnah. Entah ke mana hala tuju mereka untuk menumpang berteduh,” kata Irma.
Hangatkan musim sejuk mereka
Melihat realiti kesengsaraan yang dialami penduduk Syria, Islamic Relief Malaysia terus proaktif menjalankan kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu mereka yang terjejas dengan menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 bermula 1 November hingga 31 Disember ini.
Dana yang dikumpulkan menerusi tabung ini bakal memberi manfaat kepada 4,844 individu dengan pecahan 1,904 penerima manfaat yang terdiri daripada 272 keluarga di Kabul, Kapisa, Balkh, Bamyan, Nangarhar dan Herat, Afghanistan serta 2,940 penerima manfaat daripada 588 buah keluarga di Idlib dan Aleppo, Syria.
Antara bantuan yang akan diberikan ialah bekalan pirina, sejenis bahan bakar diperbuat daripada buah Zaitun, selimut dan pek makanan yang mengandungi tepung gandum, beras, minyak masak, kacang merah dan garam.
Terdapat 2 pakej sumbangan yang ditawarkan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk ini iaitu ‘Stay Warm With Love’ dengan nilai RM150 dan ‘Stay Safe With Love’ bernilai RM250.
Bagaimanapun, Islamic Relief Malaysia turut mengalu-alukan sokongan bagi yang ingin menyumbang dengan jumlah yang lebih atau kurang daripada pakej sedia ada mengikut kemampuan masing-masing.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang kepada akaun Islamic Relief Malaysia iaitu 5621-4270-8704 (Maybank), 8602-0738-18 (CIMB Islamic) atau 1202-9010-0656-43 (Bank Islam) dengan kod rujukan iaitu Rayuan Musim Sejuk.