Lebih 600 pokok durian klon jenis Musang King bernilai RM 30,000 yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Teras telah berjaya ditebang oleh kakitangan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Pahang.

KUANTAN – Lebih 600 pokok durian klon Musang King bernilai RM30,000 yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Teras Raub dekat sini ditebang oleh Pejabat Hutan Daerah (PHD) dalam satu operasi semalam.

Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, Operasi Teras dilakukan di kawasan  seluas empat hektar yang diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai menerokainya secara haram lebih dua tahun lalu.

“Pada 26 November lalu, PHD Raub berjaya mengesan kawasan berkenaan selepas melakukan rondaan serta semakan menggunakan Sistem e-Geoformatik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi selama lima jam bermula 9 pagi itu membabitkan 25 kakitangan dengan pengawasan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Jelas Shahril, hasil siasatan mendapati kegiatan penerokaan kawasan berkenaan dilakukan oleh seorang lelaki yang menggunakan khidmat beberapa pekerja warga asing.

Katanya, ratusan pokok durian Musang King berusia setahun hingga dua tahun dimusnahkan dengan menebangnya menggunakan parang dan mesin gergaji berantai.

Dari tempoh Januari 2021 sehingga kini, PHD Raub telah melakukan lima operasi membanteras penerokaan hutan simpan secara haram membabitkan kawasan seluas kira-kira 142.7 hektar. -MalaysiaGazette