Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Rakyat Sarawak diminta melihat rekod Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepanjang tempoh ia mentadbir negeri, sebelum membuat sebarang keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini.

Pada masa yang sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg turut mengingatkan agar rakyat tidak terpedaya dengan fitnah politik di media sosial.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai orang lain. Lihat sahaja rekod kami yang lepas.. Kita bekerja dengan Tok Nan (Ketua Menteri Kelima Allahyarham Tan Sri Adenan Satem) semasa beliau memimpin. Tok Nan meninggal dunia, kemudian saya ambil alih, dan saya teruskan perjuangan kita (termasuk) MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) (dan), kita punya (kepentingan) minyak dan gas.

“Anda nilai sendiri (berita) di media sosial ini – mana yang baik, mana yang betul. Jangan memperkecilkan orang ramai. Orang ramai bijak. Bagi saya dan rakan-rakan saya, kita kerja kuat dan kita kerjasama semata-mata bagi kepentingan rakyat Sarawak,” katanya di Majlis Pecah Tanah Pusat Penjaja Kota Sentosa di Padawan, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, pandemik COVID-19 menjejaskan kehidupan rakyat serta perniagaan di Sarawak, dan kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membantu mereka melalui pelbagai pakej bantuan termasuk Bantuan Khas Sarawakku Sayang 6.0 bernilai RM1.4 billion.

“Apabila saya berjanji, saya tunaikan,” tambahnya.

Sementara itu pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lo Khere Chiang berkata, objektif bagi pembinaan pusat penjaja itu adalah untuk memberi kemudahan kepada kumpulan penjaja yang berniaga di kawasan terbuka berhadapan dengan pasar Kota Sentosa.

“Keseluruhan projek ini menelan belanja kira-kira RM2.4 juta dan ia dijadualkan siap pada 14 Julai 2022 dengan keluasan 1,614 meter persegi. Projek ini adalah pemberian istimewa oleh kerajaan GPS kepada penjaja di Kota Sentosa,” tambahnya. – Bernama